MOTOSIKAL yang dirampas. FOTO ihsan Polis
MOTOSIKAL yang dirampas. FOTO ihsan Polis
MOHAMAD Roy. FOTO ihsan Polis
MOHAMAD Roy. FOTO ihsan Polis
Dua peragut yang ditahan. FOTO ihsan Polis
Dua peragut yang ditahan. FOTO ihsan Polis
Nabihah Kamal


Kuala Lumpur: Tidak sempat berjoli dengan hasil ragut, dua lelaki dicekup Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju selepas melarikan beg sandang milik warga Bangladesh di Setapak, semalam.

Dalam kejadian 1.50 petang itu, dua lelaki yang menaiki motosikal bertindak meragut beg sandang milik lelaki warga asing di stesen bas sebelum melarikan diri.

Bagaimanapun, tindakan dua lelaki berusia 20-an itu disedari oleh anggota URB sebelum mereka dikejar sepasukan polis itu.

Difahamkan suspek cuba melarikan diri dan bertindak biadap dengan membaling beg sandang milik mangsa ke arah pihak polis.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, pihaknya menahan dua individu berkenaan di Kampung Changkat Desa, Gombak.

"Hasil pemeriksaan mendapati seorang suspek mempunyai 17 rekod jenayah lampau dan kedua suspek yang ditahan dibawa ke Balai Polis Setapak untuk disoal siasat.

"Polis turut merampas sebuah motosikal yang digunakan oleh suspek untuk menjalankan aktiviti ragut dan berjaya mendapatkan semula beg sandang milik mangsa," katanya.

Susulan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana meragut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2016 @ 3:30 PM