Oleh Nabihah Kamal

Kuala Lumpur: Dua peragut tidak sempat melupuskan hasil jenayah selepas diberkas polis di KL Sentral di sini, kelmarin.

Kedua-dua suspek terbabit ditahan polis dalam tempoh dua jam selepas melakukan jenayah susulan tindakan pantas polis sebaik menerima maklumat kejadian ragut di Jalan Imbi di sini, sebelum itu.

Dalam kejadian jam 2.30 petang, kedua-dua suspek menaiki sebuah motosikal meragut seorang pelajar lelaki berusia 20 tahun di hadapan pusat beli-belah di KL Times Square di sini, sebelum melarikan diri.

Bagaimanapun, polis yang menjalankan operasi Ops Kesan selepas menerima laporan daripada mangsa berjaya mengesan kedua-dua suspek berhampiran KL Sentral sebelum menahan mereka.

Pemeriksaan menemui semula telefon bimbit dipercayai diragut daripada mangsa dan motosikal yang dinaiki menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Menurut sumber, kedua-dua suspek berusia 19 dan 20 tahun itu turut mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kedua-dua suspek dibawa ke Balai Polis Brickfields dan mangsa dipanggil untuk membuat pengecaman,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana meragut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2015 @ 7:00 AM