ROBIAH menunjukkan replika rumah mini yang dihasilkannya daripada bahan terbuang. FOTO  Hassan Omar
ROBIAH menunjukkan replika rumah mini yang dihasilkannya daripada bahan terbuang. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


“ALHAMDULILLAH, Allah murahkan rezeki saya apabila satu replika rumah mini yang saya buat sudah terjual dan lima lagi sudah ditempah.

“Terima kasih kepada Harian Metro kerana melaporkan kesusahan saya sekeluarga dan berkat daripada itulah ada pembaca datang ke rumah saya untuk membeli replika rumah,” kata Robiah Jantan, 56.

Ibu kepada empat anak berusia 15 hingga 18 tahun itu berkata, satu replika sudah dibeli seorang wanita pada harga RM250 tetapi pembeli itu membayar RM300 sebagai menghargai penat lelah dia menyiapkannya.

Katanya, sejak berita dia disiarkan pada 2 Februari lalu, bantuan barangan makanan dan wang tunai bukan setakat disumbangkan pemimpin Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (JAPERUN) Tanjung Bidara malah beberapa individu yang prihatin.

“Lima wanita memberikan pendahuluan RM100 seorang untuk membeli replika rumah mini yang saya hasilkan dan saya terhutang budi kepada mereka kerana saya tahu, replika itu tidaklah secantik mana, tapi niat mereka membantu saya,” katanya ditemui ketika menyiapkan replika berkenaan di kediamannya di Kampung Bukit Langsat, Tanjung Bidara, Alor Gajah, hari ini.

Pada 2 Februari lalu, Harian Metro melaporkan keperitan hidup Robiah sejak suaminya menghilangkan diri lebih tiga tahun lalu.

Selain menerima upah bulanan RM320 dengan membersihkan surau berhampiran kediamannya, Robiah menerima bantuan bulanan RM300 Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun tidak mencukupi sehingga ada kalanya dia sekeluarga terpaksa menahan lapar tiga hari berturut-turut.

Dua anaknya, masing-masing lelaki berusia 15 tahun dan perempuan 17 tahun bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ade Putra, Masjid Tanah manakala anak lelaki berusia 18 tahun dan perempuan yang juga berusia 18 tahun sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Robiah membina replika diperbuat daripada kayu dan zink terbuang untuk menghapuskan kerunsingan fikiran akibat dihimpit kemiskinan.

Sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan menghubungi anak Robiah, Suriyana di talian 010-3724424 atau menghulurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Robiah Jantan (04104-29-00006531-1).

Berita berkaitan

Replika rumah Robiah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 4:01 PM