Ahmad Hasbi


Tampin: Setiap tahun lelaki ini akan menghabiskan masa kira-kira dua hingga ke tiga bulan untuk menghasilkan replika berkonsepkan kemerdekaan bagi menzahirkan semangat patriotiknya.

Terbaru kontraktor Mohamed Haris Jantan, 58 dari Kampung Ulu Ladang, Gemas, di sini, menghasilkan replika kapal layar sebagai simbolik keadaan politik negara ketika ini yang kurang stabil.

Mohamed Haris berkata, setiap replika kenderaan yang dihasilkannya menggunakan bahan terpakai sebelum dihias dengan Jalur Gemilang.

"Saya pernah menghasilkan jet pejuang, kereta kebal dan kapal terbang. Untuk replika terbaru ini, saya mula membuatnya sejak Mei lalu dan barang yang digunakan adalah lebihan bahan pembinaan rumah seperti zink, tong cat dan besi.

"Saya juga menghabiskan kira-kira RM500 untuk membeli bendera secara berperingkat. Bahan hiasan lain juga perlu dibeli seperti cat dan sebagainya," katanya ketika ditemui di kediaman tadi.

Mengulas mengenai pembabitan awal dalam aktiviti itu, Mohamed Haris berkata, ia bermula pada 2015 apabila Jabatan Penerangan menganjurkan pertandingan keceriaan kibar Jalur Gemilang sempena bulan Kemerdekaan sebelum dia menyertainya.

"Setiap kali tiba bulan kemerdekaan saya mula memikirkan idea untuk menghias rumah. Alhamdulillah saya mendapat juara pertandingan kibar Jalur Gemilang peringkat kebangsaan anjuran Jabatan Penerangan pada 2016.

"Bermula dari situ, saya mula seronok untuk menghias rumah dengan bendera dan menghasilkan pelbagai replika. Ia bukan hanya pertandingan semata-mata, namun semangat yang ditunjukkan untuk sambutan kemerdekaan negara kita," katanya.

Bapa kepada empat anak itu berkata, untuk tahun ini dia memasang kira-kira 1,000 Jalur Gemilang di rumahnya yang dibuat secara berperingkat.

"Hiasan di rumah saya menarik perhatian masyarakat setempat. Jadi saya berharap ia akan menyemai rasa cinta dan minat kepada individu lain untuk sama-sama menghargai erti kemerdekaan ini.

"Bukan mudah untuk mencapai kemerdekaan yang kita kecapi sekarang ini. Jika bukan kita yang menghargainya, siapa lagi," katanya yang turut mendapat dorongan dan bantuan daripada isteri Lilawaty M Taib, 55, dan anak serta cucu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 4:20 PM
Mohamed Haris bersama cucunya menghias replika kapal layar, kereta kebal, pesawat pejuang dan helikopter dengan Jalur Gemilang di hadapan kediamannya di Kampung Ulu Ladang, Gemas. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Mohamed Haris bersama cucunya menghias replika kapal layar, kereta kebal, pesawat pejuang dan helikopter dengan Jalur Gemilang di hadapan kediamannya di Kampung Ulu Ladang, Gemas. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN