ROSLANI bersama monyet jantan peliharaannya  yang memakai lampin pakai buang.
ROSLANI bersama monyet jantan peliharaannya yang memakai lampin pakai buang.

Alor Gajah: Kerana kasih pada haiwan seorang lelaki sanggup menjaga anak monyet jantan peliharaannya berusia enam bulan seperti bayi sendiri, malah haiwan kesayangannya itu turut dipakaikan lampin pakai buang.

Roslani Abdul Rahman, 44, peniaga umpun-umpun di Taman Bidara Indah, Tanjung Bidara, di sini, berkata anak monyet itu diberi nama Tay oleh isterinya Norhaida Abdul Majid, 39, sempena nama watak dalam drama Korea yang digemari mereka.

Malah, kerana terlalu manja pasangan mempunyai dua anak lelaki dan seorang perempuan berusia 13 hingga 17 tahun itu turut membawa anak monyet berkenaan tidur bersama mereka.

Norhaida pula tidak membantah kemahuan suaminya sebaliknya turut terhibur melayan gelagat Tay.

Anak monyet itu dipakaikan lampin bertujuan mengelakkan air kencing atau najis haiwan itu yang dikurung dalam sangkar di luar rumah ketika keluar bekerja bertaburan, sekali gus mengotorkan lantai dan mengelakkan bau kurang menyenangkan.

Katanya, pada mulanya haiwan itu berasa kurang selesa selepas dipakaikan lampin, namun beberapa hari kemudian Tay mula dapat membiasakan diri dan membuang air besar serta kecil.

“Saya tidak mahu najis haiwan itu bersepah berikutan itu saya ambil keputusan untuk pakaikan lampin pakai buang. Setiap hari saya akan menukar lampin Tay sebanyak tiga kali sehari selepas anak monyet itu membuang air.

“Niat saya bukan mahu menyeksa haiwan tetapi mahu mengajar anak monyet itu supaya tidak menyusahkan saya untuk membersihkan air kencing atau najis yang bertaburan jika tidak dipakaikan lampin,” katanya.

Katanya, dia menjaga Tay selepas diserahkan rakannya yang juga seorang kontraktor yang menemui haiwan itu ketika melakukan kerja mengecat bangunan di Kem Terendak, lima bulan lalu.

Ketika itu Tay dianggarkan baru berusia sebulan ditemui dalam keadaan ketakutan, selepas dipercayai terpisah daripada ibunya yang melarikan diri ke dalam hutan berhampiran selepas menyedari kehadiran manusia.

“Rakan saya yang sedang mengecat bangunan melihat Tay jatuh ke atas bumbung bangunan yang dicat dipercayai terlepas daripada dakapan ibunya yang kemudian melarikan diri kerana takut dengan kehadiran manusia.

“Akibat jatuh Tay yang kesakitan tidak boleh bergerak, sebelum diserahkan kepada saya untuk dijaga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2015 @ 12:11 PM