Faliq Lajim


RASA tidak puas hati menyebabkan wanita sanggup menghentak kepala lelaki warga emas sehingga mati menggunakan cota di Taman Sentosa di Klang, kelmarin.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila suspek berusia 38 tahun berang dengan mangsa kerana menjalin hubungan cinta dengan ibu mentuanya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan daripada suspek yang memaklumkan bertengkar dengan mangsa berusia 64 tahun itu, pada 8.30 malam

"Bertindak atas maklumat itu, kita kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mayat lelaki terbaring di tepi jalan berhadapan sebuah rumah.

"Pemeriksaan lanjut menemui kesan kecederaan di belakang kepala mangsa dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul.

"Mayat mangsa yang juga pemuzik sambilan itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat," katanya kepada Harian Metro.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek tidak berpuas hati dengan mangsa yang menjadi teman lelaki ibu mentuanya yang juga ibu tunggal berusia 67 tahun.

"Wanita itu turut memaklumkan ada memukul mangsa menggunakan cota bersama pekerjanya iaitu lelaki warga India berusia 24 tahun yang sudah melarikan diri.

"Susulan itu, wanita yang juga peniaga minuman ditahan bagi membantu siasatan. Lelaki berkenaan turut diberkas di Pandamaran petang semalam," katanya.

Kata Shamsul Amar, siasatan lanjut masih dijalankan pihaknya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Wanita itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Februari 2019 @ 10:11 AM