Faliq Lajim


HANYA kerana cemburu, lelaki bertindak membakar teman wanitanya di rumahnya di Andalas, Klang, semalam.

Akibat perbuatan suspek, mangsa yang berusia 24 tahun melecur 60 peratus di bahagian badan sebelum dibawa ke Hospital Tunku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa yang berusia 52 tahun selepas melawat wanita berkenaan di hospital terbabit kira-kira 10 pagi, semalam.

"Mangsa memaklumkan dia bergaduh dengan teman lelakinya yang berusia 24 tahun ketika berada di rumah lelaki berkenaan di Andalas, di sini, sehingga dipukul dengan getah paip di bahagian badan.

"Suspek kemudian menyimbah petrol ke badan mangsa sebelum menyalakan api menyebabkan mangsa terbakar," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Shamsul Amar berkata, mangsa dan juga suspek yang bekerja sebagai mekanik dibawa ke hospital terbabit oleh bapa suspek untuk rawatan lanjut.

"Suspek cedera pada kedua-dua tangan akibat kejadian itu dan ditahan ketika menerima rawatan di hospital terbabit untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai bermotifkan cemburu.

"Berlaku perselisihan faham antara suspek dengan mangsa yang berpunca daripada cemburu hingga mengakibatkan mereka bergaduh.

"Pergaduhan antara pasangan yang sudah menjalinkan hubungan sejak setahun lalu itu menjadi serius apabila lelaki berkenaan gagal mengawal emosi dan bertindak memukul mangsa menggunakan getah paip serta menyimbah petrol lalu membakar mangsa," katanya.

Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 9:47 AM