Rafidah Mat Ruzki


SUAMI isteri ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kematian kanak-kanak berusia empat tahun yang berada bawah jagaan mereka pada Ahad lalu.

Kedua-dua mereka turut disyaki melakukan penderaan terhadap dua anak suspek wanita yang berusia lima dan lapan tahun dan seorang lagi anak yang diasuhnya yang berumur empat tahun yang juga kembar mangsa yang meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata pada 1.21 tengah hari Ahad lalu, pihaknya menerima panggilan mengenai seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun meninggal dunia di kediaman pengasuhnya di Jalan Yadi, Klang, dan kematiannya disahkan pihak ambulans yang dihantar ke rumah berkenaan.

Beliau berkata, bedah siasat terhadap mayat kanak-kanak itu yang dijalankan pada petang Isnin mendapati mangsa meninggal dunia selepas mengalami kecederaan pada abdomennya akibat hentakan objek tumpul.

"Terdapat beberapa kesan kecederaan baharu dan lama pada tubuh mangsa. Kedua-dua suspek iaitu lelaki berusia 36 tahun dan wanita berusia 30 tahun itu ditangkap pada 11 pagi tadi (semalam) di Klang," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Shamsul Amar berkata, ketika kedua-dua mereka disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, pegawai penyiasat yang memeriksa badan dua kanak-kanak lelaki serta seorang kanak-kanak perempuan berumur empat tahun yang dibawa wanita berusia 30 tahun itu mendapati mereka turut mengalami kecederaan fizikal pada tubuh badan mereka, dipercayai akibat didera oleh suspek.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati dua kanak-kanak lelaki itu anak suspek wanita, hasil dua perkahwinannya terdahulu, manakala pasangan kembar perempuan termasuk mangsa yang meninggal dunia adalah anak asuhan kedua-dua suspek.

"Ketiga-tiga kanak-kanak itu kini berada di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk pemeriksaan lanjut.

"Siasatan juga mendapati kedua-dua suspek baru saja berkahwin di Sarawak kira-kira empat bulan lalu.

"Perintah terhadap kedua-dua suspek akan dipohon di Mahkamah Majistret Klang dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita berkaitan

Kanak-kanak maut didera pengasuh

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 9:22 AM