Laporan online Harian Metro semalam.
Laporan online Harian Metro semalam.
Nurul Amanina Suhaini


PUSAT Penyembuhan, Rawatan dan Pemulihan (CCRC) Kota Tinggi mengalami kerugian RM200,000 berikutan kehadiran gajah liar yang memusnahkan tanaman dan kemudahan di sekitar kawasan itu.

Difahamkan, kehadiran sekumpulan gajah liar jam 10 malam hingga awal pagi Ahad lalu itu, menyebabkan berlakunya kerosakan pada pagar keselamatan selain tanaman di laluan pintu masuk pusat itu.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, pihaknya akan menilai semula terutama membabitkan keselamatan selain mendapat nasihat daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mengenai kaedah bersesuaian yang perlu dilaksanakan.

“Kejadian dalam skala begini adalah pertama kali, sebelum ini gajah hanya lalu saja namun itu membawa ancaman keselamatan yang perlu kita beri perhatian kerana sudah begitu hampir dengan pos pengawal keselamatan.

“Mungkin antara sebabnya adalah gangguan daripada kawasan hutan simpan atau persekitarannya.

“Kerugian hampir RM200,000 dan pagar saja hampir RM150,000 termasuk lain-lain kerosakan.

“Kita (AADK) akan membuat permohonan kepada kerajaan pusat untuk membantu segera kerana ia membabitkan keselamatan kakitangan dan penghuni di sini,” katanya ditemui selepas mengadakan lawatan kerja di CCRC Kota Tinggi hari ini.

Zulkifli (kanan) melihat pagar CCRC Kota Tinggi yang dirosakkan sekumpulan gajah. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Zulkifli (kanan) melihat pagar CCRC Kota Tinggi yang dirosakkan sekumpulan gajah. FOTO Nurul Amanina Suhaini

Zulkifli berkata, pihaknya juga akan memohon bantuan kerajaan negeri supaya mengambil tindakan segera dan pada masa sama memohon peruntukan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menurutnya, sebagai permulaan, pagar di kawasan itu akan dibaiki dengan pemasangan lampu bersesuaian termasuk merujuk pihak berkaitan mengenai alternatif sementara.

“Pada saya, untuk menikmati kehidupan yang seimbang kita perlu mengambil kira keperluan binatang liar yang memang asalnya di sini, jadi saya percaya PERHILITAN akan mengambil tindakan perlu bagi menentukan kita ini dapat meneruskan aktiviti pemulihan di sini.

“Saya dapat maklumat daripada PERHILITAN yang mana akan ada pusat santuari berhampiran dengan kawasan ini dijangka beroperasi pertengahan tahun ini.

“Kita berharap dengan adanya santuari gajah, gajah liar sekitar 70 ekor di kawasan Kota Tinggi ini ada tempat sesuai untuk diletakkan,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan kira-kira 20 ekor gajah menceroboh CCRC Kota Tinggi itu dipercayai untuk mencari makanan.

Difahamkan, gajah berkenaan mula menceroboh perkarangan pusat berkenaan berikutan hutan berhampiran mula ditebang untuk pembangunan.

Ia adalah kejadian kali kedua dalam tempoh empat hari, selepas kumpulan gajah menceroboh kawasan Kampung Bukit Lintang, Lukut, untuk mencari makanan, Jumaat lalu.

Difahamkan, kumpulan gajah itu menceroboh perkarangan CCRC jam 3 pagi dengan merosakkan pagar dan mula memakan tanaman di pusat berkenaan.

Berita berkaitan

Gajah 'masuk' CCRC

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 2:04 PM