Muhammad Al Amin diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya serta dijatuhi hukuman penjara 30 bulan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 ketika didakwa di Mahkamah Tinggi, Ayer Keroh, Melaka. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Muhammad Al Amin diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya serta dijatuhi hukuman penjara 30 bulan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 ketika didakwa di Mahkamah Tinggi, Ayer Keroh, Melaka. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Nur Saliawati Salberi


PADAH menjadi ‘budak penghantar’ pendatang tanpa izin, seorang pembantu gerai makan dipenjara 30 bulan oleh Mahkamah Tinggi Melaka, hari ini.

Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin menjatuhkan hukuman itu terhadap, Muhammad Al Amin Mahat, 21, selepas tertuduh mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai operator sebuah pengangkut iaitu kereta Honda City terbabit dalam pengangkutan lima warga Indonesia, termasuk dua wanita yang diseludup.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah stesen minyak di Masjid Tanah, Alor Gajah, kira-kira jam 2.10 pagi, pada 20 Disember 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguambela Mohd Nabilalif Mohd Rosli merayu hukuman ringan dikenakan dengan alasan sebagai pesalah muda, selain kesalahan pertama dan tidak mempunyai rekod jenayah lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Effizah Ernie Idris memohon hukuman berat dikenakan kerana perbuatan tertuduh adalah serius dan membabitkan isu keselamatan negara.

Berdasarkan fakta kes, pengadu menerima panggilan terdapat sebuah bot pancung memasuki persisiran pantai berhampiran Masjid Telok Gong dan menurunkan beberapa orang penumpang, sebelum mereka menaiki dua kenderaan iaitu jenis Honda City dan Proton Saga FLX dan kedua-duanya menuju ke Lendu.

Ketika berhenti di stesen minyak untuk mengisi petrol, tertuduh berjaya ditahan dan pemeriksaan mendapati terdapat lima warga Indonesia di dalam kereta tanpa sebarang dokumen.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara 30 bulan dari tarikh ditangkap pada 20 Disember 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 5:56 PM