Anggota polis memeriksa kedai runcit yang dirompak lapan lelaki. (Gambar kecil) Pita pelekat dan pisau yang ditemui di lokasi kejadian. FOTO HArun Yahya
Anggota polis memeriksa kedai runcit yang dirompak lapan lelaki. (Gambar kecil) Pita pelekat dan pisau yang ditemui di lokasi kejadian. FOTO HArun Yahya
Harun Yahya


IBU bersama empat anaknya berdepan detik cemas selepas kedai runcit milik mereka dirompak lapan lelaki bersenjatakan pisau serta parang di Sungai Bidut, Sibu semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, kejadian berlaku kira-kira 7.50 malam ketika mereka didatangi seorang lelaki berpura-pura mahu membeli barang.

“Kemudian, muncul dua lagi lelaki bersenjatakan pisau dan parang. Mereka meminta kesemua mangsa diam jika tidak mahu dicederakan sebelum merompak wang tunai dalam laci kaunter.

“Selepas itu, lima lagi suspek lelaki, juga bersenjatakan pisau dan pistol palsu masuk serta menggeledah kedai berkenaan untuk mencari barangan berharga,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pemilik kedai, seorang wanita berusia 45 tahun bersama empat anaknya berusia 8 hingga 24 tahun kemudiannya diikat menggunakan pengikat kabel.

“Bagaimanapun, si ibu berjaya melepaskan ikatan itu sebelum menjerit meminta pertolongan. Keadaan itu menyebabkan kesemua suspek panik dan melarikan diri menggunakan sebuah van dan Proton Saga berwarna perak.

“Suspek juga sempat melarikan alat perakam sistem kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan,” katanya.

Katanya, nilai kerugian keseluruhan dianggarkan RM4,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan. Kita percaya tujuh suspek adalah warga Indonesia, manakala seorang lagi berketurunan Cina warga tempatan berdasarkan loghat mereka.

“Polis juga menggunakan anjing pengesan (K9) bagi membantu mencari petunjuk dalam kes berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 8:31 PM