GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Samadi Ahmad


Putrajaya: Siang bekerja sebagai buruh binaan namun melakukan jenayah pecah rumah serta rompakan pada waktu tengah malam.

Itu kegiatan lima pekerja kontrak warga Indonesia dikenali sebagai Geng Rantau yang diberkas polis selepas disyaki terbabit dua kes samun bersenjatakan parang di Presint 11 Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah (IPD) Putrajaya, Asisten Komisioner, A Asmadi Abdul Aziz, berkata, kes pertama membabitkan sebuah keluarga di Jalan P11 B di sini, pada jam 3.55 pagi.

Menurutnya, mangsa sedang nyenyak tidur sebelum dua individu memakai topeng memasuki kediaman sebelum mengacukan parang kepada pemilik kediaman lelaki berusia 42 tahun.

"Ketika kejadian, mangsa bersama tiga anak sedang tidur di ruang atas rumah. Mangsa diikat di tangan serta diarahkan menyerahkan dompet berisi wang RM200.

"Dua suspek lelaki bertopeng itu turut menyelongkar rumah mangsa serta melarikan dua bentuk cincin, satu gelang tangan dan subang anggaran kerugian RM1,500.

"Hasil siasatan mendapati rumah mangsa tiada kesan umpil dan empat kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kediaman itu tidak berfungsi," katanya.

Asmadi berkata, kejadian kedua berlaku selang di kediaman seorang warga emas berusia 66 tahun di Jalan P1 di sini, sehari kemudian.

Menurutnya, mangsa mengalami kerugian RM20,000 membabitkan barang kemas dan wang tunai RM6,500.

Katanya, modus operandi kumpulan itu adalah sama iaitu memakai topeng dan mengikat mangsa menggunakan kabel.

"Kesemua suspek berusia 39 hingga 44 tahun tinggal di sekitar Lembah Kelang dan tangkapan dibuat ketika suspek menjalankan kerja membuat pagar di tepi jalan Taman Saujana Hijau Presint 11 di sini.

"Kesemua mangsa mengaku tidak bersalah dan salah seorang suspek ditahan berusia 29 tahun mempunyai rekod lampau dadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 3:42 PM