Nur Lela Zulkipli


WANITA menangis teresak-esak selepas suaminya dijatuhi hukuman denda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas kesalahan melakukan perbuatan khianat dengan menumbuk cermin kereta individu lain sehingga retak dua hari lalu.

Tertuduh, Mohamad Hakim Fitri Abu Hassan, 37, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Mohammad Hakim yang bekerja sebagai pekerja landskap itu didakwa melakukan kesalahan itu di Plaza Tol Subang, Kelana Jaya jam 8 malam mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran berkata, pengadu yang memandu kereta jenis BMW mengalami kerugian mencecah RM7,000 akibat keretakan cermin di bahagian penumpang yang ditumbuk tertuduh.

“Ketika di Plaza Tol Subang, pengadu memberitahu keretanya dihalang oleh tertuduh sebelum tertuduh menumbuk cermin kereta di bahagian pemandu sehingga retak.

“Tertuduh yang juga memandu ketika itu turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas di kawasan plaza tol itu,” katanya.

Katanya, pengadu bagaimanapun sempat merakam perbuatan tertuduh itu di telefon bimbit sebelum tertuduh melarikan diri.

Melalui rakaman video dan kawad cam yang dijalankan, tertuduh berjaya ditahan pihak polis.

Alia Sumayyah seterusnya memohon mahkamah menjatuhkan setimpal berbentuk pengajaran berikutan perbuatan tertuduh yang disifatkan mengganggu ketenteraman awam.

“Tindakan tertuduh juga menghalang lalu lintas pada hari kejadian itu dan saya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal untuk memberi mesej kepada umum bahawa perbuatan ini ditegah.

“Kerugian yang dialami mangsa juga adalah besar kira-kira RM7,000,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia perlu menanggung tiga orang anak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 6:59 PM