BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang penganggur dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, kerana membelasah bapanya sendiri.

Majistret Umzarul An-Nur Umar menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Khairi Abdul Wahab, 29, bermula dari tarikh jatuh hukuman selepas dia mengaku bersalah mendatangkan kecederaan dengan menumbuk muka dan menendang pengadu, Abdul Wahab Ahmad, 62, di Rumah Pangsa Setapak Jaya, pada 12 tengah hari, semalam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang memperuntuk hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, kejadian berlaku akibat perselisihan faham selepas pengadu meminta anaknya itu keluar segera dari bilik air menyebabkan tertuduh bertindak menumbuk dagu, mencekik leher, menendang kaki dan perut bapanya sejurus keluar dari bilik air.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dan berjanji tidak mengulangi perbuatan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira kedua ibu bapa telah menjaga tertuduh hingga dewasa.

Beliau juga memohon mahkamah memberikan hukuman yang setimpal dengan kesalahan dilakukan kerana tertuduh tidak membalas jasa ibu bapanya malahan memukul bapanya dengan kejam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 5:10 PM