SENG Yee mengundi di SJK (C) Lembah Bertam, Cameron Highlands, hari ini. Foto AIZUDDIN SAAD
SENG Yee mengundi di SJK (C) Lembah Bertam, Cameron Highlands, hari ini. Foto AIZUDDIN SAAD
Shaarani Ismail


CALON Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, yang popular dengan imej petani bertopi, berkasut getah dan membawa cangkul, Wong Seng Yee, mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bertam Valley, kira-kira jam 8.25 pagi ini.

Beliau tiba di pusat mengundi berseorangan kira-kira jam 7.55 pagi dan menjadi tumpuan media kerana hanya beliau sahaja calon yang mengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata.

Calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran dan calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Nor bagaimanapun tidak mengundi di kawasan Parlimen Cameron Highlands.

Seorang lagi calon Bebas, Salehuddin Ab Talib pula mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Koyan Satu di bawah DUN Jelai.

Bercakap kepada pemberita selepas menjalankan tanggungjawab mengundi, Seng Yee berkata, beliau gembira kerana dapat menunaikan tanggungjawabnya sebagai warganegara.

Katanya, apa yang penting sepanjang tempoh dua minggu berkempen, beliau sudah pun menyuarakan hasratnya untuk mengetengahkan masalah berkaitan tanah dan isu setempat.

Sementara itu, warga emas, Cheng Ten Shu, 65, menjadi antara pengundi yang paling awal tiba di SJKC Bertam Valley untuk mengundi.

Ten Shu tiba di pusat mengundi kira-kira jam 7.30 pagi kerana mahu segera bertolak ke Kuala Lumpur kerana mempunyai urusan.

Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 8:58 AM