MUHAMMAD Nuruddin (tengah) bersama rakan pelatih yang turut memenangi anugerah selepas Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Darat siri 189 di Pusasda, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria.
MUHAMMAD Nuruddin (tengah) bersama rakan pelatih yang turut memenangi anugerah selepas Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Darat siri 189 di Pusasda, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria.
Mohd Khidir Zakaria

SEBAIK terpilih menyertai tentera, Muhammad Nuruddin Ishak sedar ia tanggungjawab besar yang perlu digalas demi agama, bangsa dan negara.

Remaja berusia 19 tahun itu berazam melakukan terbaik sepanjang latihan dan lebih membanggakan, dia dianugerahkan Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik Siri 189/19 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Port Dickson semalam.

Muhammad Nuruddin berasal dari Bukit Piatu, Melaka, mengakui tidak menyangka menerima anugerah berkenaan kerana tidak meletakkan sasaran.

“Saya anak kelima daripada enam beradik, tetapi hanya saya memilih kerjaya tentera. Jadi, saya cuba melakukan yang terbaik sepanjang enam bulan mengikuti latihan.

“Latihan yang kami jalani sangat sukar dan memerlukan kerjasama berpasukan.

“Bagi saya anugerah ini adalah hasil kerjasama rakan sepasukan dan jurulatih yang memberi tunjuk ajar serta bimbingan,” katanya selepas Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Darat Siri 189/19.

Anugerah disampaikan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Hasagaya Abdullah dan Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Nazir Mami.

Beberapa pelatih lain turut menerima anugerah masing-masing termasuk Syazwan Akif Razali, 19, dinobatkan sebagai Perajurit Muda Kawad Terbaik, Muhammad Izzauddyn Azleen (Perajurit Muda Akademik Terbaik), Mohd Rafi Yahya (Perajurit Muda Kecergasan Jasmani Terbaik) dan Ezric Maizan Roslan (Perajurit Muda Penembak Terbaik).

Ahmad Hasbullah berkata, cabaran Tentera Darat (TD) masa kini menjurus ke arah Revolusi Industri seiring kemajuan dan perkembangan teknologi semasa.

“TD memerlukan anggota yang bukan sahaja mempunyai kekuatan fizikal dan mental, tetapi dijalin dengan ilmu pengetahuan yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata, tugas sebagai anggota tentera menuntut pengorbanan selain bijak mengadaptasi peredaran masa, menyesuaikan diri dan fleksibel serta sentiasa bersedia menghadapi ancaman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 6:31 AM