MOHAMAD Ab Rahman (tengah) menyaksikan serah terima tongkat kuasa Panglima Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat antara Mardzuki dan Mohd Sofi (kanan). FOTO Mohd Roji Kawi
MOHAMAD Ab Rahman (tengah) menyaksikan serah terima tongkat kuasa Panglima Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat antara Mardzuki dan Mohd Sofi (kanan). FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi


Kota Samarahan: Bekas Ketua Staf Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi, kini menerajui Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMTTD).

Mohd Sofi, 53, dilantik sebagai Panglima PMTTD keenam menggantikan Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.

Majlis serah terima tugas pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu disaksikan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Mohamad Ab Rahman di Kem Muara Tuang, di sini, hari ini.

Seramai 27 pegawai dan 432 anggota lain-lain pangkat menyertai perbarisan serah terima jawatan Panglima PMTTD yang diadakan dengan penuh adat istiadat ketenteraan.

Turut hadir Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Hassan Embong dan Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab.

Mohd Sofi dilahirkan di Ulu Yam, Selangor pada 14 April 1970 dan menyertai Tentera Darat Malaysia (TDM) pada 19 Ogos 1988.

Beliau ditauliahkan di dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 1 Julai 1990 sebaik menamatkan latihan pegawai kadet di Royal Military College, Duntroon, Australia.

Pada 27 Jun 2022, beliau dinaikkan ke pangkat Mejar Jeneral dan dilantik sebagai Ketua Staf Tentera Darat di Markas Tentera Darat.

Mardzuki pula bertukar ke Kuala Lumpur dilantik sebagai Naib Canselor, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Beliau menerajui PMTTD sejak 20 November 2020 menggantikan Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zakaria Yadi.

PMTTD yang ditubuhkan pada 1 April 2014 adalah satu daripada organisasi pemerintahan utama Tentera Darat Malaysja (TDM) yang bertanggungjawab terhadap keselamatan wilayah Sabah dan Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 5:25 PM