Yazid Arshad memeriksa Perbarisan MALBATT 850-9. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Yazid Arshad memeriksa Perbarisan MALBATT 850-9. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Penghormatan membanggakan apabila Kontinjen Malaysia Batalion 850-9 (Malbatt 850-9) yang berkhidmat di Lubnan di bawah Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) dikurniakan pingat pengiktirafan daripada Itali.

Kontinjen Malbatt terbabit melaksanakan tugas selama setahun bermula 13 November 2021 pada misi United Nations Interim Force In Labenon (Unifil).

Ketua Kontinjen, Kolonel Megat Maz Ardi Nohudin berkata, kekuatan keseluruhan kontinjen membabitkan seramai 854 anggota terdiri 82 pegawai dan 801 anggota lain-lain pangkat (LLP) termasuk 85 pegawai dan anggota wanita.

Menurutnya, kontinjen turut disertai 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) bersama seorang Pegawai Awam Kewangan dari Kementerian Pertahanan Malaysia.

Katanya, anggota Malbatt 850-9 mempamerkan sifat profesional tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman yang menjadikan Malaysia terkenal serta disenangi oleh semua pihak di bumi Lubnan.

"Lebih membanggakan kami dikurniakan Pingat pengiktirafan daripada negara Itali iaitu Croce Commemorativa Per La Partecipazione Alle Operazioni Di Pace yang disampaikan sendiri oleh Komander Sektor Barat Unifil," katanya yang menjadi Komander pertama Malbatt mendapat pengiktirafan itu.

Beliau ditemui selepas Pemakaian Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) di Padang Kawad Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Kem Segenting di sini, tadi.

Sementara itu, Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Indera Yazid Arshad berkata, semua anggota dan pegawai selamat tiba ke tanah air membabitkan empat peringkat bermula 28 Oktober lalu.

"Kumpulan terakhir kontinjen ini tiba di Pangkalan Udara TUDM Subang pada 18 November lalu sebelum digantikan dengan Kontinjen Malbatt 850-10 diketuai Kolonel Mohd Rizman Ramli.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 5:01 PM