Mayat mangsa ditemui di tempat duduk pemandu. FOTO Hazreen Mohamad
Mayat mangsa ditemui di tempat duduk pemandu. FOTO Hazreen Mohamad
Raja Noraina Raja Rahim


PESAKIT buah pinggang kronik ditemui mati dalam kereta di sebuah stesen minyak di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah utara hari ini.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mayat mangsa berusia 53 tahun ditemui pekerja lebuh raya dalam keadaan terbaring di tempat duduk pemandu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, pekerja terbabit menghubungi polis selepas melihat lelaki itu tidak sedarkan diri dalam kereta Perodua Bezza.

“Polis segera ke lokasi selepas menerima maklumat itu. Pemeriksaan oleh pegawai perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia.

“Siasatan pada badan mangsa mendapati terdapat kesan tebukan dan tiub dipercayai rawatan penyakit buah pinggang. Kita turut menemui rekod perubatan mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Nor Marzukee berkata, siasatan di lokasi juga tidak menemui unsur jenayah.

Katanya, keluarga mangsa dari Puchong, Selangor dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Beliau berkata, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 8:37 PM