Juwan Riduan

Penampang: Wanita ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta yang di parkir di sebuah pusat beli-belah di daerah ini, pagi hari ini.

Kejadian itu disedari orang awam yang kemudiannya memaklumkan kepada pihak polis selepas mendapati mangsa berusia 39 tahun itu tidak sedarkan diri dalam keadaan enjin kereta masih hidup.

Ketua Polis Daerah Penampang Superintendan Sammy Newton berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa yang juga warga tempatan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di bahagian tempat duduk pemandu kereta jenis Perodua Bezza.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas.

"Mayat wanita itu kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk proses bedah siasat," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sammy berkata, polis turut mengesahkan bahawa tidak terdapat sebarang unsur jenayah di lokasi kejadian.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

"Polis ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan gambar mangsa dan info yang tidak sahih bagi menjaga sensitiviti keluarganya, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2023 @ 2:47 PM