ANTARA hidupan liar dilindungi yang dirampas pegawai PERHILITAN dari dua premis di Batang Kali dan Rawang. FOTO NSTP
ANTARA hidupan liar dilindungi yang dirampas pegawai PERHILITAN dari dua premis di Batang Kali dan Rawang. FOTO NSTP
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Sengaja simpan koleksi pelbagai spesies hidupan liar dilindungi tanpa lesen selain menjadikan premis dihuni tidak ubah seperti zoo mini.

Itu tindakan seorang lelaki yang ditahan pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) selepas didapati menyimpan pelbagai jenis burung, ular sawa, landak dan memerang secara haram.

Tindakan itu dibongkar susulan serbuan dilakukan seramai tujuh pegawai PERHILITAN yang melakukan pemeriksaan mengejut di sebuah premis di Jalan Ulu Tamu, Batang Kali, Selangor, jam 12.40 tengah hari, kelmarin.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, lelaki tempatan yang juga penyelia premis itu berusia 30-an kemudian disoal siasat.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dilakukan menemui dua ekor burung enggang, burung punai, landak, ular sawa, kura-kura, burung helang, memerang dan burung hantu disembunyikan di premis itu.

“Susulan itu semua hidupan liar dilindungi itu dirampas dan dibawa ke pejabat Perhilitan untuk tindakan lanjut.

 ANTARA hidupan liar yang dirampas. FOTO NSTP
ANTARA hidupan liar yang dirampas. FOTO NSTP

“Siasatan mendapati hidupan liar itu disimpan tanpa lesen sah daripada pihak PERHILITAN. Individu yang memilikinya boleh didakwa mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan denda tidak kurang daripada RM100,000 dan tidak lebih daripada RM500,000 selain penjara tidak melebihi lima tahun,” katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, sepasukan pegawai PERHILITAN Selangor turut menyerbu sebuah kedai menjual haiwan peliharaan di Rawang, Selangor pada jam 11. 40 pagi kelmarin.

Menurutnya, pegawai Perhilitan kemudian menahan seorang perempuan tempatan yang dipercayai pemilik premis itu.

“Hasil pemeriksaan dilakukan menemui enam ekor burung serindit disimpan di dalam sangkar di bahagian dapur premis berkenaan tanpa lesen.

“Susulan itu kes berkenaan disiasat dan semua burung itu dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 11:07 AM