RAHMAH melihat haiwan yang dirampas. FOTO Nazdy Harun
RAHMAH melihat haiwan yang dirampas. FOTO Nazdy Harun
Nazdy Harun


Kuala Berang: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu merampas pelbagai jenis spesis dilindungi seperti burung murai batu, murai belanda, helang bahu hitam, ayam hutan, landak raya, memerang dan kura-kura yang dianggarkan bernilai lebih RM50,000 dalam dua serbuan berasingan di Jabi, Besut pada 14 April lalu.

Selain itu, PERHILITAN Terengganu turut menahan lima lelaki termasuk seorang warga tempatan dalam operasi dilakukan penguat kuasa PERHILITAN bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam operasi 1Malaysia Biodiversity Enforcement Operation Network (1MBEON) hasil risikan dan maklumat awam.

Pengarah PERHILITAN Terengganu, Rahmah Ilias berkata, serbuan serentak dilakukan di dua premis berkenaan pada 8.30 malam sebelum membawa kepada penahanan lima lelaki.

Beliau berkata, pihaknya menahan empat lelaki warga asing berusia 23 hingga 31 tahun di premis pertama manakala seorang lelaki warga tempatan berusia 36 tahun ditahan di premis kedua.

"Kita turut merampas pelbagai spesis dilindungi seperti burung murai batu, murai belanda, helang bahu hitam, ayam hutan, landak raya, memerang dan kura-kura di dua premis berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 iaitu Seksyen 60(1)(a) menyimpan hidupan liar tanpa lesen yang sah dan Seksyen 68(1)(a) kerana menyimpan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 1:44 PM