PEGAWAI Perhilitan melakukan pemeriksaan terhadap salah sebuah kediaman yang dikesan menyimpan hidupan liar tanpa lesen.
PEGAWAI Perhilitan melakukan pemeriksaan terhadap salah sebuah kediaman yang dikesan menyimpan hidupan liar tanpa lesen.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Sengaja undang nahas apabila semakin ramai individu dikesan mengubah suai kediaman menjadi 'mini zoo' haram dengan mengumpul pelbagai spesies hidupan liar dilindungi secara tidak sah.

Rata-rata pemilik yang menjadikan alasan hobi membela haiwan liar didapati memasang kandang khas di sekitar rumah untuk menempatkan pelbagai haiwan liar ini.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kegiatan itu dibongkar susulan operasi khas Op Bersepadu Khazanah (OBK) dilakukan pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di beberapa kediaman dikenal pasti.

Terbaru pihaknya menyerbu sebuah kediaman di Balik Pulau, Pulau Pinang Khamis lalu sebelum menahan pemilik rumah berusia 60-an.

"Pemeriksaan lanjut dilakukan menemui seekor burung murai batu, dua ekor burung dendang selayang, seekor burung punai daun, seekor burung merbah luris leher, seekor burung kelicap kunyit, dua ekor burung helang siput dan seekor burung tiong mas.

"Turut dirampas tiga ekor kura-kura giant pond, seekor kura-kura black marsh turtle, dua ekor kura-kura katup, seekor kura-kura red-eared slider dan empat ekor landak nibong," katanya,

Beliau berkata, semua spesies hidupan liar yang disimpan tanpa lesen itu dibawa ke Pejabat Perhilitan Daerah Seberang Perai, Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

ANTARA spesies hidupan liar dilindungi yang dirampas dalam operasi khas yang dijalankan.
ANTARA spesies hidupan liar dilindungi yang dirampas dalam operasi khas yang dijalankan.

Sementara itu dalam satu lagi kes berasingan, seramai empat anggota Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK) Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB) PDRM dan pegawai Perhilitan menyerbu sebuah rumah di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, Ahad lalu.

"Hasil serbuan itu, pihak berkuasa merampas seekor burung helang dan seekor kera yang dirantai di belakang kediaman itu.

"Tiga individu yang mendiami rumah berkenaan turut disoal siasat. Pegawai Perhilitan turut menyerbu sebuah lagi rumah di Bukit Bakri, Muar, Johor pada jam 3 petang, Sabtu lalu, sebelum menahan pemilik kediaman berusia awal 40-an.

"Pemeriksaan lanjut kemudian menemui seekor burung blue and gold macau dibela secara haram. Burung itu bernilai sekitar RM12,000 kemudian disita dan dibawa ke Pejabat Perhilitan Segamat, Johor, untuk tindakan," katanya.

Beliau berkata, kesemua kes itu disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

ANTARA spesies hidupan liar dilindungi yang dirampas dalam operasi khas yang dijalankan.
ANTARA spesies hidupan liar dilindungi yang dirampas dalam operasi khas yang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 7:30 AM