FARID (kiri) di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. FOTO Sarah Zulkifli
FARID (kiri) di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. FOTO Sarah Zulkifli
Sarah Zulkifli


MAHKAMAH Majistret Petaling Jaya, hari ini membatalkan waran tangkap yang dikeluarkan terhadap pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari selepas gagal hadir dalam perbicaraan kes dadah dihadapinya Jumaat minggu lalu.

Majistret Nor Arifin Hisham menetapkan demikian selepas membenarkan permohonan peguam mewakili Farid, Megat Syazlee Mokhtarom untuk menarik balik waran tangkap yang dikenakan terhadap pelakon watak utama filem Lagenda Budak Setan itu.

Bagaimanapun, Nor Arifin memerintahkan wang jaminan terhadap Farid, 37, dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000.

Terdahulu, Megat berkata, anak guamnya memohon maaf kerana tidak dapat hadir pada prosiding minggu lalu berikutan beliau mempunyai urusan kerja di Johor Bahru, Johor.

"Saya telah memaklumkan kepada Farid berhubung perbicaraan yang perlu dihadirinya pada Jumaat minggu lalu dan beliau kemudiannya bergegas dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.

"Namun, kereta beliau rosak di Danga Bay, Johor Bahru, Johor kira-kira 4 pagi, dan kenderaannya itu ditunda ke sebuah bengkel di Tampoi, Johor," katanya yang turut memaklumkan Farid hanya dapat dihubungi kira-kira 11 pagi pada Jumaat minggu lalu kerana bateri telefonnya habis.

Dalam prosiding itu, Megat turut mengemukakan resit pembayaran kereta tunda dan gambar kereta Farid yang rosak kepada mahkamah.

Sementara itu, Farid kemudiannya memohon maaf dan tidak berniat untuk memperlekehkan masa mahkamah dan sentiasa memberikan komitmen penuh pada perbicaraan sebelum ini.

Dalam prosiding sama, Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap permohonan yang dikeluarkan pihak pembelaan.

Alia turut menjelaskan kepada mahkamah bahawa tarikh perbicaraan iaitu 11 Januari itu sememangnya sudah diberitahu sebulan lebih awal dan bukannya secara tiba-tiba seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 2:43 PM