Anggota penguat kuasa JIM memeriksa warga asing ketika pemeriksaan dalam Op Bersepadu (SAPU) di sekitar Kuala Krai dan Machang semalam. Foto Ihsan JIM
Anggota penguat kuasa JIM memeriksa warga asing ketika pemeriksaan dalam Op Bersepadu (SAPU) di sekitar Kuala Krai dan Machang semalam. Foto Ihsan JIM
Siti Rohana Idris


SEPASUKAN pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan bermotosikal sejauh lebih 50 kilometer (km) dari Kota Bharu ke Kuala Krai untuk menjalankan operasi.

Dengan tidak mengenakan uniform, taktik itu dilakukan agak berlainan seperti menaiki kenderaan jabatan dan berseragam.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa JIM Kelantan Ruzaana Mohamed berkata, enam pegawai dan anggota itu memulakan perjalanan mereka untuk Op Bersepadu (SAPU) ke sekitar bandar Kuala Krai bermula 4.30 petang semalam dan berakhir 11.30 malam tadi.

“Taktik menunggang motosikal dan berpakaian biasa dibuat bagi memudahkan pergerakan anggota untuk menjalankan pemantauan dan pemerhatian sama ada secara rawak atau berdasarkan maklumat risikan yang diterima.

“Operasi dilakukan di sembilan lokasi di sekitar Kuala Krai dan Machang membabitkan tapak pembinaan, kediaman, premis perniagaan dan tepi jalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ruzaana berkata, seramai 22 warga asing diperiksa dalam operasi itu dan 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia dalam lingkungan 19 hingga 59 tahun ditahan.

Menurutnya, antara yang ditahan itu ialah empat PATI warga Indonesia termasuk sepasang suami isteri yang menyewa di sebuah rumah di Ulu Sat, Machang pada 10.30 malam.

“Mereka bekerja sebagai buruh binaan termasuk wanita yang berusia lingkungan 30-an bersama suaminya.

“Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama atas kesalahan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah serta tinggal lebih masa,” katanya.

Semua PATI berkenaan dibawa ke Depot Imigresen Tanah Merah mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 6:46 PM