GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Mustakim Ramli


HANYA kerana meminta wang belanja, seorang wanita diugut dengan pisau pemotong daging oleh anak lelakinya di Taman Kenari, Kulim, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, dalam kejadian 8.30 pagi itu, suspek, 26, turut mengacah senjata berkenaan kepada ayahnya.

“Suspek tiba-tiba mengamuk sebaik ibunya meminta wang belanja dan terus ke dapur mengambil pisau pemotong daging.

“Suspek turut memberi amaran dengan berkata: ‘Aku katok sat lagi’ ke arah ibu bapanya. Difahamkan perkara ini sering terjadi dan menyebabkan abang suspek membuat laporan polis,” katanya, ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Nasir berkata, susulan itu pihaknya menahan suspek dirumah mereka, 9.30 malam tadi.

“Suspek tidak mempunyai rekod lampau dan siasatan awal mendapati dia tidak mengaku terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Siasatan lanjut akan dijalankan selepas prosiding reman dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 9:36 AM