Anggota Penguatkuasa MDT melakukan serbuan di sebuah Kedai Makan yang menyediakan shisha (gambar kecil atas) dan antara pelanggan kedai (gambar kecil bawah). FOTO Ihsan Majlis Daerah Tumpat.
Anggota Penguatkuasa MDT melakukan serbuan di sebuah Kedai Makan yang menyediakan shisha (gambar kecil atas) dan antara pelanggan kedai (gambar kecil bawah). FOTO Ihsan Majlis Daerah Tumpat.
Siti Rohana Idris


WALAUPUN sudah tiga kali diserbu pihak berkuasa, sebuah kedai makan di Wakaf Bharu, Tumpat di sini tidak serik apabila masih menjalankan perniagaan shisha.

Dalam serbuan jam 12 tengah malam itu oleh 15 anggota penguatkuasa Majlis Daerah Tumpat (MDT) pelanggan di kedai itu sedang leka menghisap shisha.

Yang Dipertua MDT, Rosnazli Amin berkata, kedai makan itu menjadi tumpuan pelanggan kerana menyediakan shisha.

Katanya, pemiliknya bagaimanapun tidak serik melakukan kesalahan sama biarkan pernah dikenakan tindakan beberapa kali.

“Ketika serbuan dibuat terdapat kira-kira 20 pelanggan di dalam kedai makan itu dan sebahagian mereka leka menghisap shisha.

“Kami merampas tujuh botol shisha bersama peralatan, tiga meja, 11 kerusi dan satu tong gas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, pemilik premis dikenakan kompaun RM500 mengikut Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) kerana ingkar atau gagal mematuhi arahan, perintah, notis pihak berkuasa tempatan.

“MDT tidak akan berkompromi dengan pengusaha kedai makan yang menjalankan perniagaan shisha.

“Pengusaha kedai makan yang masih berdegil akan dirampas keseluruhan barangan dalam premis sebaik lesen premis perniagaan dibatalkan atau dengan kata lain mereka juga tidak lagi boleh menjalankan perniagaan kedai makan atau restoran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 9:38 PM