LAPORAN portal Harian Metro
LAPORAN portal Harian Metro
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


SIASATAN polis mendapati lelaki yang menyamar sebagai pegawai tentera ketika cuba menceroboh kem Batalion Kedua Rejimen 508 Askar Wataniah di Tampin pada 8 Disember tahun lalu, sekadar untuk ‘suka-suka’.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa berkata, suspek dipercayai melakukan perbuatan itu kerana mahu menunjukkan kononnya dia berjawatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, suspek dipercayai cuba masuk ke kem berkenaan dengan mendakwa mahu bertemu pegawai tertinggi di situ, bagaimanapun dihalang apabila anggota bertugas kerana mencurigakan.

“Buat masa ini polis mempergiatkan usaha memburu lelaki terbabit termasuk mengesan di rumah keluarganya di Serdang, Kedah.

“Bagaimanapun ahli keluarga tidak tahu menahu kes ini berikutan suspek diserahkan kepada keluarga angkat di Rembau, dekat sini, sejak kecil,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Portal Harian Metro pada 9 Disember tahun lalu melaporkan seorang lelaki bertindak menyamar sebagai pegawai tentera berpangkat kolonel dan cuba menceroboh kem berkenaan jam 2.30 petang.

Sebaik kelibatnya dicurigai, anggota bertugas memintanya menunjukkan dokumen pengenalan diri, namun suspek gagal berbuat demikian sebelum melarikan diri.

Sehubungan itu laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin dan kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Berita berkaitan

Polis kesan lelaki menyamar askar

Lelaki menyamar askar belum ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 3:18 PM