Ifwan Tun Tuah


POLIS menafikan suspek lelaki yang menyamar sebagai pegawai tentera berpangkat kolonel yang cuba menceroboh masuk ke kem di Tampin, sudah ditahan.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa berkata, maklumat yang tersebar di laman sosial sejak malam tadi mengatakan suspek sudah ditahan adalah tidak benar.

“Kita masih memburu suspek dan belum mengenal pasti identiti sebenar lelaki terbabit.

“Bagaimanapun kita sudah mendapat beberapa petunjuk yang dapat membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Media semalam melaporkan polis giat mengesan lelaki terbabit selepas menerima laporan dia yang memakai seragam tentera lengkap cuba memasuki kem tentera darat pada 2.30 petang, 8 Disember lalu.

Kes penyamaran itu dan gambar yang dimuat turun daripada akaun Facebook yang dikatakan milik suspek itu turut menjadi tular di laman sosial Facebook serta aplikasi WhatsApp, sejak kelmarin.

Berdasarkan maklumat yang tular itu, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) Port Dickson, diminta berhati-hati kerana lelaki itu didakwa berpotensi melakukan perkara boleh mendatangkan kemudaratan terhadap keselamatan kem.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan lelaki itu mempunyai masalah mental dan buat masa ini dia tidak dianggap sebagai ancaman.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Berita berkaitan

Polis kesan lelaki menyamar askar

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 11:56 AM