ANGGOTA polis yang ditahan pegawai SPRM Negeri Sembilan selepas terbabit dalam kes rasuah di Tampin Square, hari ini. FOTO Helmi Irwadi Mohd Nor
ANGGOTA polis yang ditahan pegawai SPRM Negeri Sembilan selepas terbabit dalam kes rasuah di Tampin Square, hari ini. FOTO Helmi Irwadi Mohd Nor
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PEGAWAI Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Negeri Sembilan terkoyak seluar ketika bergelut dengan anggota polis yang ditahan bersabit kes rasuah di kedai akuarium di Tampin Square, hari ini.

Sumber berkata, lans koperal polis berusia 36 tahun itu ditahan 2 petang berikutan membekalkan rokok kepada seorang tahanan lelaki di lokap Balai Polis Tampin, dekat sini.

Katanya, lelaki berkenaan ditahan di lokap antara 2 hingga 6 Mac lalu berikutan terbabit kes gaduh di Tampin.

"Suspek yang berkhidmat di balai berkenaan dipercayai membekalkan bahan larangan iaitu rokok dan menerima RM400.

“Bertindak atas aduan diterima, lapan pegawai SPRM negeri ke Tampin Square hari ini untuk menahannya," katanya.

Sumber itu berkata, sebaik tiba di lokasi suspek enggan bekerjasama ketika empat pegawai SPRM cuba memberkasnya sehingga berlaku pergelutan dan menyebabkan seluar seorang pegawai SPRM terkoyak pada bahagian lutut.

Sementara itu, jurucakap SPRM Negeri Sembilan ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan, namun enggan mengulas lanjut.

Beliau berkata, suspek akan direman esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 8:28 PM