Gambar viral Penyamaran Pamakaian sebagai anggota tentera di berpangkalan di Tampin. Foto : IHSAN PEMBACA
Gambar viral Penyamaran Pamakaian sebagai anggota tentera di berpangkalan di Tampin. Foto : IHSAN PEMBACA

Raja Noraina Raja Rahim

[email protected]

POLIS kini giat mengesan seorang lelaki yang dipercayai menyamar sebagai anggota tentera dan cuba menceroboh masuk kem tentera darat di Tampin.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa berkata, lelaki yang lengkap berpakaian seragam tentera itu dikatakan memasuki kem berkenaan, pada 2.30 petang, 8 Disember lalu.

"Pengawal bertugas yang curiga melihat kehadiran suspek memintanya menunjukkan dokumen pengenalan diri tetapi suspek gagal berbuat demikian. Suspek mendakwa mahu berjumpa Kompeni Sarjan Mejar dan Penolong Pegawai Memerintah di kem berkenaan.

"Berikutan kejadian itu, pihak terbabit yang bimbang suspek mengulangi perbuatan sama di kem lain tampil membuat laporan polis semalam untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bertindak atas laporan itu katanya, polis kini sedang mengesan lelaki itu bagi mengetahui motifnya bertindak demikian.

Ramli berkata, pihaknya juga turut menyiasat pemilik akaun Facebook yang dikaitkan dengan lelaki terbabit, namun siasatan mendapati pemilik akaun berkenaan tidak wujud.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Kes penyamaran itu dan gambar yang dimuat turun daripada akaun Facebook yang dikatakan milik suspek itu turut menjadi tular di laman sosial Facebook serta aplikasi WhatsApp, sejak semalam.

Berdasarkan maklumat yang tular itu turut meminta pihak Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) Port Dickson, berhati-hati kerana lelaki itu didakwa berpotensi melakukan perkara boleh mendatangkan kemudaratan terhadap keselamatan kem.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 4:20 PM