Siti Arziah Ismail
Siti Arziah Ismail
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Alhamdulillah selepas menjalani rawatan radioterapi, bengkak pada mata isteri berkurangan malah selera makannya juga bertambah baik," kata jurugambar sambilan Baazlan Ibrahim, 63, suami kepada Siti Arziah Ismail, 61, yang menghidap barah pangkal hidung.

Menurut Baazlan, sehingga kini isterinya berjaya menjalani rawatan itu sebanyak empat kali di Hospital Sultan Ismail (HSI) dan berharap dapat melengkapkan rawatan disyorkan doktor sehingga 18 kali.

"Dia juga dapat makan roti berbanding sebelum ini hanya bergantung kepada susu disyorkan doktor sebagai pengganti makanan termasuk sarapan pagi hingga makan malam.

"Malah kami juga kuat kerana doa orang ramai termasuk yang menyumbang bantuan kewangan selepas kisah kami disiarkan di akhbar.

"Kami juga berterima kasih atas sumbangan RM100 dan susu daripada Kelab Media Johor," katanya ketika ditemui hari ini.

Baazlan berkata, bekerja sebagai jurugambar sambilan, pendapatannya tidak tetap namun bersyukur kerana dapat meneruskan pekerjaan dan menampung kos rawatan isteri.

"Kos perubatan isteri adalah kira-kira RM2,000 selain tambang ulang-alik kami ke hospital dijangka mencecah RM300 sepanjang tempoh rawatan 18 hari.

"Setiap kali rawatan memakan masa antara dua hingga empat jam, saya berdoa semoga isteri kuat semangat dan melawan penyakit ini," katanya.

Pada 26 Oktober lalu, akhbar ini mendedahkan kisah Siti Arziah yang tidak sangka kerap selsema, kemerahan pada mata kiri dan hidung berdarah adalah simptom kanser pangkal hidung tahap tiga.

Siti Arziah mengalami simptom berkenaan bagi tempoh singkat sebelum disahkan menghidap kanser pada September lalu dan doktor juga mengesan ketumbuhan di hidungnya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 5:06 PM