Ahmad Shafie   (tengah) berdoa  ketika menerima Kotak Rezeki Harian Metro di Taman Selayang Mutiara, Selayang. Turut  sama Salim  (kiri)
Ahmad Shafie (tengah) berdoa ketika menerima Kotak Rezeki Harian Metro di Taman Selayang Mutiara, Selayang. Turut sama Salim (kiri)
Amir Abd Hamid


Selayang: Seorang imam yang juga pesakit kanser tidak dapat menahansebak apabila menerima sumbangan dalam program #HMKotakRezeki2017 di Taman Selayang Mutiara, di sini, spontan menadah tangan berdoa semoga kerja kebajikan itu diterima Allah.

Ahmad Shafie Ghazali, 65, disahkan menghidap kanser hidung sejak awal tahun lalu kelihatan lemah ketika menceritakan rawatan penyakitnya itu.

Namun, semangat bekas Polis Tentera (MP) itu digagahkan untuk berdiri menadahkan tangan doa bersyukur ketika menerima kunjungan wartawan dan jurugambar Harian Metro bersama penduduk setempat diketuai Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Taman Selayang Mutiara Zon 13, Salim Shaari.

“Pada mulanya saya sangkakan beguk atau ada orang panggil sakit bengkak cantik. Namun, apabila didiagnos saya disahkan alami kanser hidung.

“Inilah dugaan yang perlu dihadapi. Saya bukan saja menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi di hospital, malah turut mengamalkan doa dan rawatan Islam.

“Terima kasih datang menziarahi dan semoga kerja kebajikan di bulan Ramadan ini diterima Allah,” katanya yang mempunyai enam anak dan kini dijaga isterinya, Rohaniah Sukaimi, 60.

Sementara itu, Salim berkata, 50 Kotak Rezeki serta beras diagihkan kepada golongan kurang bernasib baik termasuk pesakit kanser, orang tua dan ibu tunggal.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Harian Metro yang memberikan sumbangan Kotak Rezeki ini. Semoga penyumbang dilimpahi rezeki berlebih-lebih lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 10:20 AM