Abdul Halim menerima ijazah sarjana muda daripada Noor Azizi (dua kanan) di rumahnya di Kampung Kok Kiak Baka. FOTO Fathil Asri
Abdul Halim menerima ijazah sarjana muda daripada Noor Azizi (dua kanan) di rumahnya di Kampung Kok Kiak Baka. FOTO Fathil Asri
Hazira Ahmad Zaidi


GRADUAN Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang menghidap kanser pangkal hidung tahap empat terharu apabila menerima Ijazah Sarjana Muda Pengajian Warisan di rumahnya di Kampung Kok Kiak Baka, Machang hari ini.

Lebih mengujakan apabila UMK mengadakan mini konvokesyen itu dengan penuh adat istiadat apabila Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Noor Azizi Ismail dan pengurusan tertinggi memakai jubah konvokesyen ketika menyampaikan ijazah sarjana muda kepada Abdul Halim Mat Hassan, 25.

Abdul Halim berkata, dia sepatutnya menghadiri Istiadat Konvokesyen UMK Kali Ke-9 pada 19 Oktober lalu, namun dia terpaksa membatalkan niatnya kerana tahap kesihatan tidak mengizinkan.

“Saya sebak kerana tak dapat menyarung jubah konvokesyen dan melangkah naik ke pentas untuk menerima ijazah serta berkongsi kegembiraan dengan rakan lain.

“Tetapi pada hari ini, saya sangat gembira kerana mini konvokesyen diadakan di rumah dengan penuh adat istiadat sambil disaksikan ibu ayah, Mariah Ismail, 59, dan Mat Hassan Hamad, 63, serta nenek, Zainab Sulaiman, 109, yang sudah uzur.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan, pensyarah serta ahli keluarga yang banyak memberi membantu serta memberi semangat sehingga berjaya menamatkan pengajian,” katanya ditemui di rumahnya selepas Majlis Khas Penyampaian Skrol Ijazah Sarjana Muda itu.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK, Prof Dr Zaliman Sauli.

Anak ketujuh daripada 10 beradik itu berkata, dia dikesan menghidap kanser itu Oktober 2017 selepas berasa kebas di bahagian pipi selain menyebabkan mata kirinya buta.

“Bimbang dengan keadaan ini, saya mendapatkan rawatan di hospital dan doktor mengesahkan saya menghidap kanser pangkal hidung serta perlu menjalani rawatan.

“Selama setahun saya perlu menjalani rawatan termasuk radioterapi sebanyak 36 kali dan kimoterapi tujuh pusingan untuk menghalang sel kanser daripada merebak dan pada masa sama doktor juga terpaksa menebuk bahagian leher saya untuk saluran pernafasan.

“Sejak itu, saya hanya boleh makan makanan lembut serta susu dan turut berpantang serta mengelak mengambil makanan yang boleh menyebabkan sel kanser semakin aktif,” katanya.

Sementara itu, Noor Azizi berkata, mini konvokesyen itu kali kedua selepas yang pertama diadakan di wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian Disember lalu untuk meraikan graduan yang menghidap penyakit saraf.

“Majlis ini inisiatif UMK untuk menghargai penat lelah Abdul Halim yang selama ini bertungkus-lumus menggenggam ijazah selain memberi semangat kepadanya.

“Saya juga mendoakan Abdul Halim terus diberi kekuatan untuk melawan penyakit yang dihidapinya selain diberi kesembuhan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Disember 2019 @ 6:32 PM