PENDUDUK melihat limpahan air laut melepasi benteng sekali gus membanjiri daratan menuju ke rumah dan kebun di Kampung Jambi Laut, Rengit, hari ini. Foto FARID NOH
PENDUDUK melihat limpahan air laut melepasi benteng sekali gus membanjiri daratan menuju ke rumah dan kebun di Kampung Jambi Laut, Rengit, hari ini. Foto FARID NOH
Mohamed Farid Noh


EMPAT rumah penduduk Kampung Jambi Laut dan Bagan, Rengit dibanjiri air laut berikutan air pasang besar luar biasa sejak pagi hari ini.

Kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu menyebabkan rumah penduduk berkenaan dinaiki air laut sehingga hampir setinggi 0.4 meter.

Ketua Whip Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) Malik Faishal Ahmad berkata, pihaknya memaklumkan kepada Pejabat Daerah dan agensi penyelamat untuk bersiap sedia menghadapi keadaan lebih buruk.

“Fenomena air pasang besar luar biasa kali ini menyebabkan empat rumah diduduki 16 mangsa di Kampung Jambi Laut dan Kampung Bagan dinaiki air secara tiba-tiba.

“Laluan ke rumah mereka terputus kerana air laut naik dengan deras setinggi hampir 0.4 meter sehingga hampir ke paha dan paling terjejas adalah keluarga ibu tunggal bersama seorang ibu orang kurang upaya (OKU) berikutan rumah mereka tidak sampai 250 meter dari benteng yang dilepasi air laut.

“Fenomena ini dijangka berterusan sehingga Rabu ini dan kita akan memantau keadaan limpahan air laut bagi memastikan keselamatan penduduk tidak terjejas,” katanya ketika meninjau fenomena air pasang besar di Rengit, hari ini.

Terdahulu dalam tinjauan selama dua jam, Malik bersama penduduk kampung sekitar Jambi, Rengit Laut, Sungai Kluang Laut dan Bagan Laut mendapati benteng sementara pecah menyebabkan air laut melimpah dan membanjiri kebun serta rumah penduduk.

Katanya, hampir 2,000 penduduk di empat kampung pesisir laut di Rengit berisiko rumah ditenggelami air laut setiap kali fenomena air pasang besar berlaku.

Penduduk Kampung Merlung, Rengit Laut, Mohd Nurulhuda Mohd Said, 43, berkata penduduk berhampiran laut kini bimbang berikutan kejadian limpahan air laut ke kawasan penempatan dan ke kebun semakin kerap.

“Tengoklah hari ini fenomena air pasang besar luar biasa menyebabkan air laut melepasi benteng, air dengan deras memasuki kebun dan menghampiri kediaman kami.

“Kami berharap kerajaan Johor mengambil tindakan segera sebelum keadaan lebih buruk termasuk rumah penduduk ditenggelami air laut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Disember 2018 @ 3:39 PM