Siraj Mohd Zaini


FENOMENA air pasang besar di beberapa kawasan di Selangor, hari ini, masih dalam keadaan terkawal.

Meskipun berlaku limpahan air, namun ia tidak menjejaskan kegiatan penduduk setempat dan orang ramai.

Tinjauan Harian Metro di sekitar Terminal Penumpang Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, mendapati kegiatan seharian tidak terganggu meskipun air laut melimpah sehingga ke jalan raya berdekatan.

Difahamkan, jadual perkhidmatan feri tidak terjejas berikutan kerana limpahan air akan mulai surut dalam waktu singkat.

Ketua Unit Pengurusan Bencana Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata, fenomena air laut pasang besar mencecah ketinggian 5.5 meter di Pelabuhan Klang, pada 8.02 pagi tadi.

“Namun, tiada limpahan air serius yang dikesan. Keadaan ban ataupun benteng di kawasan pesisir pantai juga kukuh dan berada dalam keadaan baik.

“Keadaan adalah selamat dan terkawal, manakala keadaan cuaca adalah baik dan cerah,” katanya.

Ahmad Fairuz turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan sebarang aktiviti di kawasan pantai bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Fenomena air pasang besar diramal antara 1 hingga 2 September, 29 September sehingga 2 Oktober dan 27 sehingga 30 Oktober di persisiran pantai Selangor.

Fenomena itu membabitkan daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Bagaimanapun, sekiranya hujan lebat dan angin kencang, ia boleh memberi menyebabkan banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 11:17 AM
SEKITAR kawasan jeti di Pelabuhan Klang dinaiki air ketika kemuncak air pasang besar. FOTO Faiz AnuarNSTP
SEKITAR kawasan jeti di Pelabuhan Klang dinaiki air ketika kemuncak air pasang besar. FOTO Faiz AnuarNSTP