Lakaran kedudukan bumi pada 'Perihelion' iaitu hampir dengan matahari memberi impak kepada graviti bumi dan menyebabkan berlakunya beberapa  fenomena antaranya air pasang serta air surut mendadak di luar kebiasaannya seperti yang berlaku di Johor dan Terengganu baru-baru ini. FOTO Ihsan Ahli Geologi Institut Geologi Malaysia
Lakaran kedudukan bumi pada 'Perihelion' iaitu hampir dengan matahari memberi impak kepada graviti bumi dan menyebabkan berlakunya beberapa fenomena antaranya air pasang serta air surut mendadak di luar kebiasaannya seperti yang berlaku di Johor dan Terengganu baru-baru ini. FOTO Ihsan Ahli Geologi Institut Geologi Malaysia
Amin Ridzuan Ishak


KEJADIAN air pasang besar dan air surut mendadak di Johor serta Terengganu baru-baru ini adalah disebabkan daripada impak pertambahan graviti bumi berikutan kedudukannya paling hampir dengan matahari pada orbitnya dikenali sebagai Perihelion.

Fenomena itu dijangka mencapai tahap maksimum pada awal Januari ini dan berterusan sehingga Februari tahun yang tiada kaitan dengan tsunami.

Ahli Geologi di Institut Geologi Malaysia (IGM), Ahmad Rosli Othman P. Geol. berkata, bumi pada masa ini melengkapkan satu pusingan mengelilingi matahari untuk tempoh satu tahun kalendar dan akan berada pada kedudukan paling hampir dengan matahari pada 3 Januari tahun depan.

Katanya, kedudukan Perihelion memberikan kesan terhadap graviti serta arus aruhan magma dalam perut bumi menyebabkan berlakunya empat fenomena antaranya kekerapan gempa bumi yang kadang-kadang berskala besar, gunung-gunung berapi aktif meletus, air pasang besar dan air surut dengan mendadak serta siang yang panas berbahang.

“Kesan itu ada berlaku di Malaysia iaitu Johor dan Terengganu baru-baru ini tetapi ia adalah fenomena biasa berlaku ketika tempoh Perihelion, orang ramai tidak perlu risau.

“Sepanjang tempoh Perihelion, siang lebih terik pada Disember dan Januari tetapi kita jarang merasainya disebabkan liputan awan tebal serta kekerapan hujan musim tengkujuh,” katanya ketika dihubungi di Kuantan, hari ini.

Pada 24 Disember lalu, empat rumah penduduk Kampung Jambi Laut dan Bagan, Rengit, Batu Pahat, Johor dibanjiri air laut sehingga hampir 0.4 meter berikutan air pasang besar luar biasa dan menjejaskan 16 penghuninya.

Pada keesokannya pula, berlaku fenomena air surut mendadak dari kebiasaannya di Dungun, Terengganu sehingga menyebabkan pasir di kawasan beting pasir timbul sehingga ke tengah laut di Muara Kuala Dungun.

Mengulas lanjut, Ahmad Rosli berkata, kesan daripada Perihelion juga dapat dicerap kebelakangan ini antaranya anak Krakatoa aktif meletus sehingga dinding kawahnya runtuh lalu menghasilkan tsunami yang meragut nyawa dan kemusnahan harta benda di Selat Sunda, Indonesia.

“Selain itu, Gunung Etna, Itali dan Gunung Mayon, Filipina dilaporkan meletus beberapa hari lalu,” katanya.

Mengulas cuaca semasa bumi, Ahmad Rosli berkata, ketika ini kedudukan bumi condong dengan maksimum daripada paksinya menyebabkan kutub utara sentiasa malam manakala kutub selatan sentiasa mengalami waktu siang.

Katanya, hemisfera utara mempunyai malam pendek dan sedang mengalami musim sejuk sebaliknya hemisfera selatan mempunyai siang panjang serta musim panas dan perbezaan ini menyebabkan berlakunya perubahan tekanan udara di antara kedua-dua hemisfera ini.

“Tekanan udara rendah di hemisfera utara ini bergerak ke hemisfera selatan yang menghasilkan angin Monsun Timur Laut, ia kadang-kala membawa kadar kerpasan (hujan) tinggi bermula November sehingga Februari sepanjang tahun,” katanya.

Katanya, semua fenomena berkenaan adalah normal pada setiap November sehingga Februari namun, tahun ini agak unik dan luar biasa kerana kebetulan juga berada pada kedudukan paling hampir dengan bumi iaitu pada 24 Disember lalu.

“Ada kemungkinan berlakunya gempa bumi berskala besar atau letusan gunung berapi kuat akibat Perihelion dan Perigee,” katanya.

INFO

•Bumi mengorbit matahari adalah berbentuk bujur di mana pada 3 atau 4 Januari setiap tahun bumi akan berkedudukan paling hampir dengan matahari.

•Sebaliknya kedudukan bumi paling jauh daripada matahari pula dikenali sebagai Aphelion dan berlaku 3 atau 4 Julai setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 9:56 AM