ANGGOTA bomba memantau Pantai Bagan Lalang. FOTO ihsan pembaca
ANGGOTA bomba memantau Pantai Bagan Lalang. FOTO ihsan pembaca
Samadi Ahmad


Sepang: Paras air laut di kawasan persisiran pantai Bagan Lalang di sini masih terkawal dan tidak menjejaskan rutin harian penduduk.

Pegawai Daerah Sepang Khairi Azali Ibrahim berkata, setakat hari ini paras air laut masih pada tahap normal dan tiada berlaku air pasang besar.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang berkata, hasil pemantauan di pantai Bagan Lalang dan Jeti Sirip Biru dan maklumat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) mendapati air laut berada pada tahap stabil.

Menurutnya, tiada limpahan melepasi benteng dan situasi berada dalam keadaan selamat.

"Amaran awal juga akan dikeluarkan kepada penduduk sekitar sekiranya berlaku fenomena air pasang besar melalui hebahan dari agensi yang terbabit," katanya.

Katanya, pihaknya sudah mengadakan kesiapsiagaan membabitkan beberapaagensi seperti polis, JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi pemantauan, kerja menyelamat serta pemindahan penduduk sekiranya berlaku banjir.

Fenomena air pasang besar dijangka melanda Kedah, Perak, Selangor dan Johor selama empat hari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 11:20 AM