BERNAMA

Shah Alam: Fenomena air laut pasang besar yang melanda pesisir pantai Selangor hari ini adalah terkawal dan tiada limpahan besar air sehingga mengakibatkan kejadian banjir dilaporkan.

Pegawai Operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir berkata, jalan persekutuan berhampiran Pasaraya Mustafa dan Lorong Yunus, Sungai Sembilan di Kuala Selangor dilaporkan dinaiki air sekitar 5.44 pagi dan mula surut kira-kira jam 7 pagi.

Sementara di kawasan Bagan Pasir Tanjung Karang, jeti nelayan Sungai Kajang, Jalan Sungai Dungun, Bagan Sungai Kajang, Kampung Tok Adam, Ikan Bakar Pantai Jeram, Bagan Pasir Penambang dan Bagan Sungai Janggut dalam daerah yang sama, hanya mengalami sedikit limpahan kecil air melepasi ban atau benteng.

Muhammad Izzat Haziq berkata, ban Kampung Sungai Janggut di Kuala Selangor juga sudah selesai dibaik pulih Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi persediaan menghadapi fenomena air laut pasang besar.

KEADAAN Jeti Telok Gong yang dinaiki air laut berikutan fenomena air laut pasang besar ketika tinjauan sekitar jam 5.45 pagi hari ini. FOTO BERNAMA
KEADAAN Jeti Telok Gong yang dinaiki air laut berikutan fenomena air laut pasang besar ketika tinjauan sekitar jam 5.45 pagi hari ini. FOTO BERNAMA

Katanya, beberapa kawasan di daerah Klang turut dinaiki air dalam tempoh masa yang sama, antaranya Pengkalan Nelayan Kampung Sementa; Jalan Banting Pandamaran; Pengkalan Sungai Udang, Kampung Baru Telok Gong; Kampung Tradisi; Kampung Pendamar dan Kampung Perajurit, Telok Gong.

"Turut dinaiki air ialah Taman Telok Gedong Indah, Pelabuhan Klang; Jeti Sungai Udang; Kampung Baru, Telok Gong; Taman Selat Damai Pandamaran, Pelabuhan Klang; dan Kampung Sungai Kembung, Pulau Indah, namun keadaan itu sudah kembali reda.

"Hari ini, hanya ada limpahan kecil air (berhampiran pantai) dan tiada kes yang membabitkan kawasan penempatan penduduk di kesemua kawasan sekitar daerah Klang, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Kuala Langat dan Sepang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Fenomena air laut pasang besar sebelum ini diramal akan melanda lima daerah pesisir pantai itu sehingga esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 2:35 PM