KEADAAN sekitar Sabak Bernam dan Kuala Selangor yang mengalami fenomena air pasang besar. FOTO IHSAN UPBN SELANGOR
KEADAAN sekitar Sabak Bernam dan Kuala Selangor yang mengalami fenomena air pasang besar. FOTO IHSAN UPBN SELANGOR
Amirul Aiman Hamsuddin


Sabak Bernam: Sekurang-kurangnya 31 rumah di daerah ini dilanda banjir susulan fenomena air pasang besar yang memasuki hari ketiga, hari ini.

Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN) dalam kenyataan memaklumkan, kawasan terbabit Dataran Pantai Batu 23 Sungai Nibong, Dataran Pantai Bagan Nakhoda Omar (BNO), Kampung Baharu dan Kampung Nelayan.

Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dan air surut beberapa jam kemudian.

"Kejadian berlaku antara 4 hingga 5.30 pagi dengan 15 rumah terjejas di Dataran Pantai Batu 23 Sungai Nibong dan 15 buah lagi di Dataran Pantai BNO dan Kampung Nelayan, manakala sebuah rumah di Kampung Baharu.

"Jalan utama berhampiran kediaman itu (Kampung Baharu) juga terjejas," menurut kenyataan, hari ini.

UPBN berkata, limpahan air antara 150 hingga 300 milimeter (mm) dan banjir surut mulai 8 pagi.

Agensi itu juga akan mencadangkan supaya benteng pantai dinaiktaraf dan jalan berhampiran ditinggikan sebagai penyelesaian jangka panjang bagi mengelak kesan fenomena air pasang besar.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pemantauan pihaknya bersama agensi berkaitan mendapati berlaku limpahan kecil di Bagan Pasir, Pantai Sungai Kajang dan pekan Tanjong Karang.

Namun katanya, air surut pada 7 pagi dan keadaan sama turut dilapor di Pantai Remis, Pantai Jeram dan Jeti Jambatan Kuala Selangor.

"Tetapi ia tidak membahayakan penduduk," katanya.

Fenomena air pasang besar dijangka melanda Kedah, Perak, Selangor dan Johor selama empat hari sehingga esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 3:23 PM