ANGGOTA polis membawa tertuduh (kiri) ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini. Foto SITI NORHIDAYATIDAYU RAZALI
ANGGOTA polis membawa tertuduh (kiri) ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini. Foto SITI NORHIDAYATIDAYU RAZALI
Siti Nor Hidayatidayu Razali


BAPA didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini terhadap pertuduhan mencabul anak gadisnya berusia 17 tahun, awal bulan lalu.

Bagaimanapun, buruh berusia 48 tahun itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan perbuatan membabitkan kontak fizikal tanpa persetubuhan terhadap anak perempuannya berusia 17 tahun di rumah, di Machang, 2 pagi, pada 7 Disember 2018.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hajarul Falenna tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 20 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 5:24 PM