ANGGOTA Bomba dari Balai Subang Jaya, Elvin Elvister menurunkan bendera separuh tiang berikutan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Balai Bomba Subang Jaya. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
ANGGOTA Bomba dari Balai Subang Jaya, Elvin Elvister menurunkan bendera separuh tiang berikutan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Balai Bomba Subang Jaya. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Nurul Hidayah Bahaudin


KIBARAN bendera bomba separuh tiang akan dilaksanakan di semua premis Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) selama tiga hari bermula hari ini hingga 20 Disember nanti.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohamad Hamdan Wahid berkata, kibaran bendera separuh tiang itu dilaksanakan bagi memberi penghormatan terhadap pemergian Allahyarham Muhammad Adib yang disahkan meninggal dunia, malam tadi.

“Buat keluarga Muhammad Adib, takziah diucapkan daripada seluruh warga JBPM. Semoga ahli keluarga Muhammad Adib diberi kekuatan dalam menempuh ketentuan Ilahi ini dan bersama-sama kita berdoa supaya roh beliau ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh.

“Sesungguhnya jasa dan nama Muhammad Adib akan disemadikan bersama-sama Wira Merah di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah Kuala Kubu Bharu dan diabadikan dalam lipatan sejarah kebombaan negara,” katanya dalam satu kenyataan, Kuala Lumpur, hari ini.

Mohamad Hamdan berkata, pihaknya mahu tindakan undang-undang tegas diambil terhadap pihak bertanggungjawab terhadap kecederaan dan kematian Muhammad Adib.

“Demi menegakkan keadilan, besar harapan JBPM supaya tindakan undang-undang tegas diambil terhadap pihak bertanggungjawab ke atas kecederaan dan kematian Muhammad Adib,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang turut memberi penghormatan terakhir di Pangkalan Udara Subang, pagi tadi.

“Tidak lupa juga, setinggi tinggi penghargaan dirakamkan kepada semua pihak khususnya Pemangku Agong, Sultan Kedah, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar Selangor, Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Menteri-Menteri Kabinet, Subang Jaya Medical Centre (SJMC), Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Kuala Lumpur (HKL), pihak agensi kerajaan, korporat, persendirian dan semua rakyat Malaysia yang terbabit secara langsung serta tidak langsung dalam menghulurkan apa jua bantuan, sumbangan, doa.

“Selain itu, penghargaan juga dirakamkan kepada rakan media yang membuat liputan berita menyeluruh untuk Allahyarham Muhammad Adib sejak beliau menerima rawatan di SJMC dan IJN serta proses bedah siasat di HKL sehingga selesai urusan pengebumiannya.

“Sesungguhnya perhatian, bantuan, sumbangan dan doa semua pihak yang diberikan sepanjang tempoh berkenaan amatlah kami hargai,” katanya.

Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 7:11 PM