SAKSI ke-24, Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, (HKL) Dr Ahmad Hafizam Hasmi hadir untuk inkues menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Kompleks Mahkamah Shah Alam. FOTO Sairien Nafis
SAKSI ke-24, Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, (HKL) Dr Ahmad Hafizam Hasmi hadir untuk inkues menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Kompleks Mahkamah Shah Alam. FOTO Sairien Nafis
Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli


PAKAR Forensik Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) memberitahu Mahkamah Koroner di Shah Alam, hari ini, bahawa hujung tulang rusuk Muhammad Adib Mohd Kasim, 24, yang patah tertusuk paru-paru kanan anggota bomba itu.

Saksi ke-24, Dr Ahmad Hafizam Hasmi berkata, beliau menemukan sedemikian selepas melakukan bedah siasat terhadap Muhammad Adib, 1 pagi pada 18 Disember tahun lalu di HKL.

"Hasil pemeriksaan terhadap dalaman dada Muhammad Adib menemukan pelbagai kesan kecederaan, otot dada kanannya lebam kemerahan, tulang sternum tidak patah dan tulang rusuk patah.

"Selain itu, tulang rusuk ketiga si mati patah tiga, tulang rusuk keempat patah dua serta tulang rusuk kelima patah dua," katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Hamdan Hamzah di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

Terdahulu, Dr Ahmad Hafizam memberitahu mahkamah bahawa mayat Muhammad Adib diterima HKL pada 12.36 tengah malam, pada 18 Disember tahun lalu.

Dalam prosiding itu, saksi sama memberitahu mahkamah, pemeriksaan lain dilakukan mendapati tulang tengkorak dan dasar tengkorak Muhammad Adib tidak pecah dan otak mangsa juga berwarna kehijauan.

HAMDAN : Otak si mati kehijauan?

DR AHMAD HAFIZAM : Otak kehijauan ini adalah disebabkan sejenis ubat, 'Methylene Blue' yang diberikan sewaktu Adib dirawat di Institut Jantung Negara (IJN). Kebiasaannya otak manusia biasa tidak berwarna hijau. Ubat ini adalah satu daripada ubat diberikan kepada Adib ketika dia dirawat.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di IJN.

Prosiding inkues bersambung petang ini.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 1:47 PM