WARIS dan ahli keluarga mangsa. FOTO L Manimaran
WARIS dan ahli keluarga mangsa. FOTO L Manimaran
Zahratulhayat Mat Arif


MAYAT mangsa kejadian letupan dan kebakaran premis perniagaan pengaturcara majlis di Kawasan Perindustrian Jelapang Maju, Ipoh, semalam, masih belum boleh dituntut oleh ahli keluarga.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan berkata, ia berikutan laporan pergigian ke semua mangsa masih belum diperolehi.

"Pihak hospital sedang cuba sedaya upaya untuk mempercepat proses (menuntut mayat) dan beberapa prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi. Jika berlaku kesilapan, pihak hospital dan pihak berkuasa akan menanggungnya... jadi kita kena berhati-hati.

"Pihak polis sedang mengesan rekod pergigian empat mangsa yang masih bersekolah di mana pakar pergigian akan membuat perbandingan untuk kenal pasti mayat yang sepatutnya diserahkan kepada keluarga mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, hari ini.

Sivanesan berkata, polis akan menghubungi keluarga masing-masing bagi menuntut mayat sebelum diserahkan kepada keluarga.

“Semalam, ada beberapa keluarga yang telah menghubungi saya dan mereka mahu tuntut mayat hari ini, tetapi saya beritahu mereka, itu mustahil dan mereka faham,” katanya.

Menurutnya, selain kerajaan negeri, proses pengebumian akan turut dibantu oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Perak.

Dalam kejadian 1.54 tengah hari semalam, enam termasuk lima remaja meninggal dunia.

Lima sahabat terbabit adalah Ahmad Faizal Aminuddin, 16; Mohammad Nor Ikram Mohd Husni, 15; Mohammad Nuraiman Abdul Rahman, 16; Mohamad Ekmal Izzuddin Mohd Kamari, 16 dan Muhamad Azhar Shah Rosli, 19.

Turut terkorban, majikan mereka dikenali sebagai P Thiagarajan, 40.

Berita berkaitan

Kerajaan Perak tanggung kos pengurusan jenazah [METROTV]

Insiden rumah kedai meletup: Bomba teliti CCTV

Lima sahabat disemadi bersama

[UPDATE] Mak, tolong... [METROTV]

Enam maut dalam kebakaran

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 2:46 PM