Faris Fuad


TERTEKAN pedal minyak menyebabkan kereta dipandu seorang lelaki merempuh dinding parkir di tingkat satu Kompleks Sun di Kuala Lumpur sebelum terhumban, hari ini.

Kejadian jam 6.18 pagi menyebabkan kereta Honda Accord terbabit terjunam dan menghempap tiga kenderaan lain di belakang kompleks itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, lelaki berusia 29 tahun yang memandu kereta terbabit hanya cedera ringan.

Katanya, tiga pemandu kenderaan lain iaitu Proton Waja, Proton Gen2 serta Toyota Vellfire disahkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Semua kenderaan terbabit dialihkan dari lokasi kejadian dengan bantuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan orang awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan.

Berita berkaitan

Mujur cedera ringan...

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 7:35 PM