NOR Ruzana Natiah (dua dari kanan) mengajar penyusunan harakat taranum tersendiri bagi memudahkan orang ramai terutama yang tiada asas Al-Quran di Masjid Al-Mukminun, Subang Jaya. FOTO Azhar Ramli
NOR Ruzana Natiah (dua dari kanan) mengajar penyusunan harakat taranum tersendiri bagi memudahkan orang ramai terutama yang tiada asas Al-Quran di Masjid Al-Mukminun, Subang Jaya. FOTO Azhar Ramli
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Ramai dalam kalangan Muslim di negara ini lancar membaca al-Quran namun bukan semua dianugerahkan kebolehan mengalunkan taranum.

Berikutan itu Nor Ruzana Natiah Jaafar, 35, mencipta kaedah penyusunan harakat taranum, sekali gus menarik minat dan memudahkan individu yang tiada asas taranum.

Nor Ruzana Natiah berkata, tanggapan taranum al-Quran cuma untuk individu tertentu saja turut membataskan masyarakat untuk mendalami ilmu itu.

“Berdasarkan pemerhatian ramai berkebolehan baca al-Quran, tetapi sayangnya tidak boleh alunkan suara dengan taranum.

“Jadi, saya terpanggil mencipta teknik ini untuk membantu dan mempermudahkan orang mengaji supaya lebih ramai lagi mahir.

“Bagi saya, apabila dapat baca al-Quran dengan alunan taranum, kita lebih mudah menghayati maksud ayat itu,” katanya.

Menurutnya, kaedah dinamakan taranum Murattal (bacaan sempurna dengan taranum) adalah teknik paling mudah untuk memberi kefahaman kepada mereka yang mahu mengaji, tetapi kurang asas.

“Teknik ini macam gaya imam baca ayat al-Quran berlagu-lagu ketika solat, tetapi ringkas untuk memudahkan orang faham dan ikut bacaan.

“Ia paling mudah sebab tidak perlu gunakan tingkatan (Tobaqat) atau meninggikan suara jika ikut taranum Mujawwad.

“Taranum Mujawwad digunakan mereka yang mahir atau sudah sampai tahap ke Musabaqah atau Tilawah,” katanya.

Wanita ini memberitahu dia mengambil masa tiga bulan untuk mengubah suai taranum Murattal yang asalnya diambil daripada taranum Mujawwad yang tidak tersusun.

Katanya, ilmu taranum luas dan pelbagai berikutan itu dia melakukan sedikit susunan agar lebih ringkas serta tersusun.

NOR Ruzana Natiah. FOTO Azhar Ramli
NOR Ruzana Natiah. FOTO Azhar Ramli

“Bagi lebih memudahkan, saya gunakan konsep satu taranum (Bayyati) mempunyai satu set harakat iaitu pertama nada tinggi, kedua sederhana dan ketiga rendah.

“Apa yang saya buat, habis bacaan satu set, masuk ayat seterusnya ulang semula dengan konsep sama satu demi satu,” katanya.

Dia memberitahu teknik itu dilihat lebih berkesan dalam menarik minat dan memudahkan orang membaca al-Quran dengan bertaranum.

“Bermula dengan satu masjid, teknik pembelajaran menjadi bualan dari mulut ke mulut. Syukur kini saya mempunyai lebih 200 pelajar di 11 masjid dan surau sekitar Selangor.

“Taranum Murattal ini ada tujuh jenis kebiasaannya dalam kelas saya akan tukar taranum setiap tiga bulan dengan menggunakan konsep sama satu set harakat itu.

“Konsep saya bila saya baca, ramai-ramai akan ikut sebelum ulang seorang demi seorang untuk memastikan sama ada pelajar saya itu faham dan boleh bertaranum sendiri,” katanya.

Nor Ruzana Natiah, pernah menewaskan 56 peserta dunia dalam Pertandingan Tilawah Dunia Melayu Dunia Islam Peringkat Antarabangsa 2017 itu turut menerima undangan untuk mengadakan seminar berkaitan teknik taranum dibangunkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 1:00 PM