IDRIS (tengah) bersama kakitangan UMT .
IDRIS (tengah) bersama kakitangan UMT .
HM Digital

Bagi memperkasakan pembentukan generasi Ulul Albab khususnya dalam aspek pembacaan al-Quran dan hafazan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) membangunkan Studio al-Quran Ulul Albab, yang pertama seumpamanya di negara dan di dunia.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata studio berteknologi tinggi bernilai RM100,000 itu dibina di Kampung Raja, Besut menerusi projek komuniti di bawah Pusat Pendidikan Asas dan Liberal (PPAL) UMT dengan kerjasama Majlis Kebajikan Pelajaran Besut (MKPB).

Katanya, ia mendedahkan pelajar kepada kaedah baharu pembacaan al-Quran menerusi teknologi dan teknik pembelajaran interaktif menerusi penggunaan al-Quran digital dan teknologi maya.

Beliau berkata, bacaan al-Quran setiap peserta di dalam studio kedap suara itu juga akan dirakam secara audio dan visual.

Studio itu juga, katanya, bakal menjadi pusat latihan vokal khusus untuk taranum, selain pusat rujukan masyarakat termasuk imam, guru al-Quran, pelajar sekolah dan penuntut universiti.

“Di sini, bacaan akan direkodkan dalam ‘spectrogram,’ iaitu aplikasi untuk mengesan suara, memeriksa gelombang bacaan serta kadar harakat bacaan.

“Ia memudahkan proses pembelajaran dan mengenal pasti kesalahan. Malah, bacaan juga dirakam secara audio dan visual bagi memudahkan proses menilai prestasi perkembangan dan kemajuan pelajar sepanjang tempoh pembelajaran.

“Saya kagum dengan kejayaan dan inovasi terbaru pensyarah UMT yang mampu menggunakan teknologi dan sains untuk manfaat agama,” katanya ketika merasmikan studio itu.

Idris meminta lebih ramai pensyarah dan warga universiti mencipta inovasi baru, terutama dalam bidang sains dan teknologi demi faedah masyarakat dan membantu membangunkan negara.

Studio al-Quran berkenaan yang beroperasi sejak dua bulan lalu mampu melatih 30 peserta bagi setiap sesi pembelajaran dan mengambil masa setahun untuk tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 12:03 PM