Isyariana memanfaatkan masa sepanjang Ramadan dan PKPB dengan mempelajari ilmu tajwid al-Quran secara dalam atas talian. Foto Ihsan Isyariana
Isyariana memanfaatkan masa sepanjang Ramadan dan PKPB dengan mempelajari ilmu tajwid al-Quran secara dalam atas talian. Foto Ihsan Isyariana
Ahmad Rabiul Zulkifli

PELAKON Satukan Rasa dan Tolong Sempurnakan Cinta Mami, Isyariana Che Azmi, 30, memanfaatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) serta Ramadan oleh mempelajari ilmu tajwid secara dalam talian di rumahnya.

Isyariana atau lebih dikenali sebagai Isya yang dikatakan wajahnya persis artis Indonesia, Agnes Monica sering membuat perkongsian mengenai aktivitinya di rumahnya di Cheras termasuk mempelajari ilmu tajwid di Instagram (IG).

Menurutnya, sudah lama dia menyimpan hasrat untuk memperbetulkan tajwid bacaan al-Quran tetapi kerana terlalu sibuk di set penggambaran menyebabkan hasratnya itu sering tertangguh.

"Alhamdulillah, sejak PKP berkuat kuasa saya mula mengikuti mengaji al-Quran secara bertajwid al-faqeh melalui dalam talian di bawah bimbingan Ustazah Nabilah Husna.

"Kelas al-Quran bertajwid itu diteruskan sepanjang Ramadan ini dan dijalankan dua kali seminggu iaitu pada Isnin dan Jumaat selama dua jam.

"Perkongsian belajar al-Quran yang dibuat di IG bukan berniat tidak baik atau mahu menunjuk tetapi bertujuan untuk memberi semangat dan dorongan kepada peminat dan pengikut IG supaya turut sama belajar al-Quran seterusnya memanfaatkan masa terluang sebaik mungkin sepanjang PKPB ketika ini dan Ramadan sekarang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, dia boleh mengaji al-Quran sejak daripada tingkatan tiga tetapi bacaannya tidak bertajwid.

"Selepas lebih dua bulan belajar, bacaan saya semakin baik seterusnya mengetahui hukum tajwid antaranya bacaan harakat yang dibaca panjang atau pendek.

"Saya bercadang untuk menyambung pengajian tafsir al-Quran pula selepas belajar tajwid selepas ini sebelum beralih kepada pengajian ilmu taranum.

"Maklumlah saya suka menyanyi oleh itu tidak salah sekiranya belajar taranum seterusnya boleh mengalunkan bacaan al-Quran dengan lebih merdu dan berlagu," katanya yang bakal muncul dengan single pertama bertajuk Lukisan Hati yang juga lagu runut bunyi (OST) untuk filem Escape arahan Ikhwansha Hazer.

Menurutnya, sejak PKP dilaksanakan menyebabkan aktiviti seninya terbantut dan terpaksa ditangguhkan.

"Saya sedang menjalani penggambaran drama rantaian 26 episod bertajuk Luka di Hati Diya sebelum PKP berkuat kuasa.

"Sudah 10 hari menjalankan penggambaran drama berkenaan sebelum arahan PKP dikeluarkan dan selepas sambutan Aidilfitri nanti berkemungkinan penggambaran drama itu akan disambung semula," katanya.

Bercerita mengenai cabaran sepanjang PKP, peserta program pertandingan realiti popular Akademi Fantasia pada 2016 yang menggunakan nama pentas Riana itu berkata, dia hanya berkurung di rumah sepanjang PKP dan menjalankan pelbagai aktiviti lain termasuk belajar memasak.

"Paling sedih apabila terpaksa berpisah dengan keluarga sepanjang PKP.

"Saya tidak pernah berpisah lama dengan ibu (Isnowati Abd Hamid) tetapi kerana PKP saya terpaksa berjauhan dengan ibu.

"Kami hanya mampu berhubung melalui panggilan video sahaja sepanjang PKP untuk bertanya khabar dan melepaskan rindu," katanya.

Menurutnya, dia sudah pulang ke rumah keluarganya di Kajang untuk melepaskan rindu terhadap ibu dan keluarganya selepas kerajaan memberi kelonggaran dengan melaksanakan PKPB.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 12:23 PM