DR Justin akan berlepas ke Antartika pada 14 Disember depan.
DR Justin akan berlepas ke Antartika pada 14 Disember depan.
Avila Geraldine

Kota Kinabalu: Seorang saintis kelahiran Sabah yang menjalankan kajian berkaitan atmosfera terpilih dalam melaksanakan kajian lapisan ozon yang dikaitkan dengan pertukaran stratosfera-troposfera (STE) di kutub selatan selama sebulan.

Pensyarah Fakulti Sains dan Sumber Alam Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Justin Sentian berkata, beliau akan ke wilayah paling sejuk di muka bumi itu pada 14 Disember depan dan dijadualkan tiba di Antartika pada 18 Disember.

Menurutnya, sepanjang kira-kira sebulan di kutub selatan, beliau akan menjalankan kajian berkaitan profil ozon dengan menumpukan pencerobohan ozon dari lapisan stratosfera ke lapisan troposfera.

Katanya, troposfera adalah lapisan paling di bawah atmosfera bumi, manakala stratosfera terletak di lapisan kedua dan bertindak sebagai pelindung ozon bagi melindungi hidupan bumi daripada pancaran radiasi ultra violet (UV) matahari.

“Ozon di lapisan stratosfera adalah ozon yang baik, melindungi kita daripada sinaran UV dan apabila ia turun ke troposfera, ia menjadi ozon yang tidak baik kerana ozon di lapisan bawah dianggap sebagai gas rumah hijau dan tercemar.

“Apabila ia turun, ia akan mengurangkan ozon di stratosfera dan itulah yang kita panggil sebagai penipisan lapisan ozon.

“Ia adalah kesan pengangkutan ozon dari atas ke bawah dan kita mahu lihat jika ia berlaku ketika ekspedisi penyelidikan itu nanti.

“Jadi, kita akan mengambil ukuran dan membuat model siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

DR Justin
DR Justin

Justin yang berasal dari Kampung Bundu Tuhan, Ranau berkata kehadirannya ke wilayah kutub itu dapat menambah pengetahuan khususnya mengenai apa yang berlaku terhadap pengangkutan ozon di kawasan iklim yang berbeza.

Menurutnya, beliau juga mahu mencari jawapan sama ada perubahan iklim seperti peningkatan suhu akan memberi kesan kepada pencerobohan stratosfera ke troposfera bumi.

Kajian itu katanya, dapat memberi manfaat kepada Malaysia untuk lebih memahami hubungan di antara wilayah tropika dan kutub dalam bidang atmosfera.

“Ia sangat menarik kerana apa saja yang kita buat di kawasan tropika termasuk di Malaysia contohnya apa saja yang mendorong ke arah pembentukan ozon dapat diangkut ke atas iaitu lapisan stratosfera di kawasan tropika.

“Ia juga akan diangkut ke wilayah kutub melalui kitaran bumi. Jadi, apa saja yang kita lakukan di kawasan tropika ia boleh sampah ke kawasan kutub,” katanya.

Tahun lalu, Justin menerima geran penyelidikan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan menerusi penyelidikannya yang bertajuk Modelling Approach in Simulating Stratosphere-Troposphere Exchange (STE) Under Climate Change Scenarios: Occurrence and Characterization of Tropopause and Tropospheric Ozone Chemistry.

Beliau yang terbabit dalam pengkhususan dalam kajian sains atmosfera dan perubahan iklim adalah saintis Malaysia pertama bekerjasama dengan Pentadbiran Antartika dan Artik China dalam ekspedisi penyelidikan yang dijalankan di Great Wall Station, Antartika.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 8:30 AM