PANAS melampau menyebabkan tanah pertanian merekah.
PANAS melampau menyebabkan tanah pertanian merekah.
KANAK-kanak bermain layang-layang walaupun dalam cuaca panas melampau.
KANAK-kanak bermain layang-layang walaupun dalam cuaca panas melampau.
AIR Empangan Gemencheh menyusut dan bacaan paras air terkini ialah 93.85 meter melepasi bacaan paras kritikal.
AIR Empangan Gemencheh menyusut dan bacaan paras air terkini ialah 93.85 meter melepasi bacaan paras kritikal.

Malaysia banyak menyaksikan perubahan cuaca yang dilihat ekstrem sejak kebelakangan ini, ada antaranya tidak pernah dilihat sebelum ini.

Terletak di kawasan Khatulistiwa, Malaysia beriklim tropika dengan suhu purata 27 Celsius dan kadar kelembapan antara 70 hingga 90 peratus. Ini menjadikan Malaysia panas dan lembap sepanjang tahun.

Namun, sejak setahun kebelakangan ini, Malaysia menyaksikan pelbagai fenomena cuaca yang dianggap luar biasa.

Ini termasuk cuaca panas melampau sehingga mencapai 41 Celsius, hujan dengan jumlah yang terlalu tinggi ketika Monsun Timur Laut yang mengakibatkan banjir besar, suhu sejuk seperti di Kelantan pada awal tahun serta kejadian puting beliung yang kerap berlaku pada akhir 2014.

Perubahan iklim

Pelbagai kajian dijalankan untuk menentukan impak perubahan cuaca di seluruh dunia. Bagaimanapun, memang sukar untuk menentukan punca perubahan aliran cuaca di Malaysia.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam penyelidikannya mendapati panas di Malaysia meningkat sejak lebih 40 tahun dan meramalkan paras air hujan juga akan meningkat.

Laporan Panel Antara Kerajaan dan Perubahan Iklim (IPCC) menyatakan bahawa suhu permukaan bumi meningkat daripada 1.1 Celsius kepada 6.4 Celsius pada abad ke-21 dengan peningkatan ketara pada 1990-an.

Bumi yang lebih panas menyebabkan ais di kutub terutama di zon Artik mencair.

Banyak lagi perubahan iklim yang dikaitkan dengan pemanasan global antaranya kitaran monsun dijangka berubah, dengan El-Nino mengakibatkan lebih banyak banjir, kemarau dan gelombang panas.

Namun, pakar meteorologi tempatan yang juga Pengarah Pusat Penyelididkan Antartika Kebangsaan Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah berpendapat perubahan cuaca yang dihadapi Malaysia sekarang bukan suatu yang aneh.

Ini kerana sistem cuaca adalah sentiasa berubah dan tidak statik.

Beliau juga berkata banjir yang berlaku terutama di Kelantan bukan suatu yang luar biasa kerana ia fenomena yang berlaku hampir setiap tahun.

“Ia menjadi luar jangkaan kerana ribut dan hujan lebat datang serentak dengan air pasang besar.

“Jadi, dengan kadar hujan yang melebihi 1,000mm selama empat hingga lima hari, memang kemungkinan berlaku banjir amat tinggi.

“Tetapi, yang menjadi persoalan ialah mengapa air hujan itu tidak boleh mengalir ke laut,” katanya.

Luruan angin

Perubahan cuaca ini berkaitan dengan latitud tengah yang menyebabkan luruan angin ­seperti berlaku di Kelantan berpunca daripada udara yang bertiup dari Siberia.

Tekanan atmosfera di kawasan tanah tinggi Siberia menjadi tinggi manakala tekanan di kawasan barat Lautan Pasifik menjadi rendah mendorong pergerakan angin sejuk dari Siberia ke barat Lautan Pasifik.

Sekurang-kurangnya tujuh atau lapan luruan berlaku dalam satu monsun yang mempengaruhi iklim di Malaysia sama ada dengan membawa hujan atau sebaliknya.

“Apabila kawasan kita panas... di sana pula sejuk, justeru berlaku banyak luruan angin ke kawasan kita. Ada luruan itu tidak menyebabkan hujan.

“Bulan lalu berlaku luruan sejuk, tetapi tidak membawa hujan, malah cuaca di sini panas serta kering hingga hutan terbakar. Ada yang anggap ini pemanasan bumi sedangkan awan pun tidak boleh terhasil,” katanya.

Kaitan gas rumah hijau dengan perubahan iklim

Aktiviti manusia melalui perindustrian, permotoran serta pembakaran hutan secara tidak terkawal menyumbang kepada perubahan iklim berikutan peningkatan gas rumah hijau.

Walaupun perubahan iklim menjejaskan seluruh dunia, mereka yang tinggal di kawasan tropika lebih terdedah kepada gas rumah hijau ini.

“Kawasan tropika seperti Malaysia adalah pintu utama gas rumah hijau masuk ke atmosfera. Apabila semakin banyak penyingkiran ozon di atmosfera fenomena lubang ozon boleh berlaku yang akan mendedahkan manusia kepada

sinaran UV berbahaya yang boleh menyebabkan kanser kulit kepada manusia,” kata Ketua Pusat Perubahan Iklim Tropika Institut Perubahan Iklim UKM, Dr Mohd Shahrul Mohd Nadzir.

Perubahan cuaca boleh meningkatkan frekuensi hujan lebat dengan peningkatan jumlah isipadu hujan. Apabila hujan lebat, air sungai dan tasik akan melimpah menyebabkan banjir besar.

Namun, katanya penyelesaian kepada banjir sangat bergantung kepada corak penyelesaian masalah pencemaran air dan udara serta guna tanah. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 12:57 PM